Sabtu, 22 Oktober 2011

Proham gesa UIA batal tindakan gantung khidmat Aziz Bari

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR ― Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) menggesa Universiti Islam Antarabangsa (UIA) membatalkan tindakan menggantung perkhidmatan Prof Dr Abdul Aziz Bari yang sedang disiasat atas tuduhan mengeluarkan kenyataan memudaratkan imej pusat itu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini timbalan pengerusinya Prof Hamdan Adnan berkata, UIA harus mengembalikan Aziz kepada kedudukan asal bagi mempertahankan kebebasan akademik dan perbincangan intelektual dunia pendidikan.

“Di samping itu, kami mengesyorkan UIA agar mengadakan perbincangan akademik berhubung tema (isu semasa) demi keagungan pendidikan dan kemajuan intelektual,” kata beliau.

Pendirian Proham ini dikeluarkan ketika wujud polemik berhubung laporan bahawa Aziz digantung perkhidmatan dan dilarang masuk kampus UIA sehingga siasatan ke atasnya selesai.

Dalam kenyataan awal hari ini, Aziz menafikan kenyataan Rektor UIA bahawa pensyarah itu tidak ditegah memasuki pusat pengajian tinggi tersebut sehingga siasatan ke atasnya selesai.

Menurut peguamnya Dr Zulqarnain Lukman, kandungan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan, bertarikh 19 Oktober lalu, dengan jelas menunjukkan Aziz digantung perkhidmatan beliau berkuasa “serta-merta sehingga siasatan selesai dan bukan hanya dalam tempoh tujuh hari” sebagaimana dikatakan oleh Rektor Prof Dr Zaleha Kamaruddin semalam.

“Berhubung kenyataan yang diberikan oleh Rektor UIA Prof Dr Zaleha Kamaruddin, yang disiarkan oleh akhbar hari ini khususnya oleh Bernama (semalam), saya mendapat arahan anak guam bahawa kenyataan Rektor UIA berkaitan penggantungan perkhidmatan selama tujuh hari dan bahawa beliau bebas masuk ke dalam premis UIA adalah tidak tepat,” kata Zulqarnain.

Kenyataan Zaleha itu keluar semalam ketika banyak pihak menggesa UIA menarik balik penggantungan perkhidmatan ke atas Aziz sehingga siasatan dijalankan.

Dalam satu kenyataan semalam, UIA menjelaskan tindakan menggantung tugas Aziz bukanlah hukuman, sebaliknya bagi memastikan siasatan terperinci dapat dijalankan berikutan kenyataan beliau mempertikai titah Sultan Selangor.

Zaleha turut menafikan laporan media bahawa Aziz tidak dibenarkan masuk serta berurusan dengan pihak universiti, dan digajinya turut ditahan.

Sehubungan itu tegas Hamdan, Proham mahu kerajaan pusat dan Kementerian Pengajian Tinggi mengkaji meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

“Ini akan memastikan institusi pengajian tinggi di Malaysia ada kebebasan akademik yang konsisten dengan standard hak asasi manusia antarabangsa,” katanya yang turut menegaskan, tindakan UIA hanya akan melemahkan lagi kebebasan pemikiran intelektual.

“Dalam penilaian Proham, Prof Bari merupakan seorang sarjana dan pakar dalam undang-undang Perlembagaan Malaysia.

“Adalah sesuatu yang menyediakan apabila tafsiran yang konstruktif mengenai undang-undang tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak, yang reaksi mereka tiada kaitan dengan soal logik atau kewarasan,” kata Hamdan

Tiada ulasan: