Isnin, 24 Oktober 2011

PKR Wilayah yakin kekal semua kerusi

"Kuala Lumpur ini kubu kuat kita. Tiada satu negeri pun yang mencatatkan keputusan luar biasa kerana 10 dari 11 kawasan Parlimen milik Pakatan Rakyat," kata Anwar.



KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin mampu mengekalkan semua kerusinya di Kuala Lumpur semasa Pilihan Raya Umum akan datang (PRU13).

Menyifatkan Kuala Lumpur sebagai kubu kuat, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata momentum itu mampu dikekalkan berdasarkan prestasi PKR semasa PRU12.

“Kuala Lumpur ini kubu kuat kita. Tiada satu negeri pun yang mencatatkan keputusan luar biasa kerana 10 dari 11 kawasan Parlimen milik Pakatan Rakyat,” katanya dihadapan kira-kira 300 ahli PKR Wilayah di Kampung Baru di sini petang tadi.

Mengulas lanjut, Pengerusi PKR Wilayah Dr Idris Ahmad berkata pihaknya sudah pun mempunyai senarai pendek calon berpotensi bertanding PRU13 dan hanya tunggu kata putus daripada Pusat.

Idris berkata pihaknya juga berkeyakinan penuh merampas kerusi Parlimen Setiawangsa yang disandang bekas Menteri Wilayah Datuk Zulhasnan Rafique dari Barisan Nasional yang memperoleh jumlah majoriti undi pos.

Beliau turut yakin dapat mengekalkan kemenangan dengan sokongan penuh akar umbi di Parlimen Wangsa Maju walaupun wakilnya rakyatnya Wee Choo Keong lompat PKR.

Tanda aras

Sementara itu Naib Presiden Nurul Izzah Anwar berkata parti kini berhati-hati dengan menetapkan tanda aras yang tinggi menentukan kelayakan calon agar tiada lagi wakil rakyat part itu yang akan keluar parti.

“Kita takkan bagi peluang kedua kepada calon bermasalah dan calon nanti akan dipilih secara profesional,” katanya kepada pemberita.

Walau bagaimanapun Izzah berkata keyakinan itu terjamin jika sistem pilihan raya masih tak berubah apabila wujudnya pertambahan undi pos dan isu kerakyatan warga asing.

“Di Lembah Pantai sahaja jumlah pengundi pos meningkat sebanyak 1,446 daripada April sehingga Jun lalu berbanding PRU lepas yang hanya ada 100 lebih pengundi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar dalam ucapannya turut menyelar tindakan sesetengah pihak yang cuba bermain dengan sentimen permusuhan antara agama.

“Hari ini kita saksikan ketegangan baru, tiga tahun lalu mereka suruh kita bergaduh dengan Hindu, hari ini kita bergaduh dengan Kristian, esok pula mungkin dengan Buddha.

“Sedangkan musuh utama kita sebenarnya adalah orang yang korup dan zalim,” katanya.

Tiada ulasan: