Khamis, 20 Oktober 2011

Petang 27 Oktober untuk lihat anak bulan



Petang 27 Okt bersamaan 29 Zulkaedah ditetapkan bagi melihat anak bulan Zulhijah untuk menentukan Aidiladha.

Perkara itu dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin setelah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja hari ini, Majlis Raja-Raja juga mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Aidiladha atau Hari Raya Qurban adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Sebanyak 30 lokasi ditetapkan bagi melihat anak bulan iaitu di Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara di Melaka; Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan; Bukit Melawati dan Pulau Angsa, Kuala Selangor, Bukit Jugra, Banting dan Balai Cerap Selangor, dan Sabak Bernam di Selangor.

Lokasi lain ialah Pantai Pasir Panjang, Daerah Manjong di Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang; Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Pemandangan Indah, Pulau Langkawi, dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu, Bukit Kemuning, Kemaman, Pulau Perhentian, Besut, dan Balai Cerap KUSZA, Setiu di Terengganu.

Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai, Menara Bangunan SEDC, Kota Baharu di Kelantan; Tanjong Lubang, Miri, Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak serta Balai Cerap Al-Biruni, Putatan di Sabah.

Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang; Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan di Wilayah Persekutuan Labuan; Menara Kuala Lumpur di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Wilayah Persekutuan Putrajaya; dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat di Perlis.

Pada malam itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad akan mengisytiharkan tarikh Hari Raya Qurban menerusi radio dan televisyen. -MK

Tiada ulasan: