Isnin, 10 Oktober 2011

Peneroka Felda tak dapat penyata pendapatan selama 5 tahun

Oleh: Ahmad Fadli


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Bahrin Abbas hari ini membangkitkan masalah peneroka-peneroka yang terus dibelenggu masalah hutang berterusan, tanpa mengetahui kedudukan kewangan sebenar mereka dengan Felda.

Kamarul membangkitkan perkara itu dalam soalannya kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, peneroka-peneroka felda di seluruh negara hanya mendapat penyata hutang dari Felda yang mengandungi antaranya wang pendahuluan RM1,500 sebulan dari Felda tetapi tidak pernah diberikan penyata pendapatan.

“(Peneroka) tidak diberitahu keadaan sebenar kerana di banyak tempat, penyata hutang dikemaskini.

“Yang jadi masalah, penyata hasil peneroka tak diberikan Felda sampai lima tahun.

“Hutang peneroka bertambah dalam masa lima tahun sehingga ada di antaranya mencecah RM80 ribu sehingga RM100 ribu.

“Kenapa Felda ada masalah (dengan perkara ini)?” tanya Kamarul Baharin.

Ahmad Maslan yang menjawab soalan Kamarul Baharin menyifatkannya sebagai ‘masalah terpencil’ yang dialami sebahagian peneroka sahaja.

Beliau juga kelihatan cuba mengalihkan beban menjawab persoalan itu kepada pengurus-pengurus di tanah rancangan Felda apabila meminta penerok berurusan terus dengan pengurus yang sentiasa bersedia ’24 jam’ untuk peneroka.

“Peneroka tak puas hati boleh jumpa pengurus 24 jam.

“(Felda) tak tipu peneroka. Itu masalah terpencil,” kata Ahmad Maslan.

Masalah di antara peneroka dan Felda bukan satu perkara baru kerana ramai peneroka di seluruh negara kini memfailkan saman terhadap Felda atas pelbagai dakwaan antaranya penipuan kadar perahan gred (KPG) kelapa sawit.

Peneroka-peneroka yang memfailkan saman itu berpendapat Felda mengisytiharkan peratus perahan gred yang jauh lebih rendah berbanding yang diujikaji makmal kelapa sawit bebas.

Tiada ulasan: