Sabtu, 29 Oktober 2011

Pembangunan: Penduduk mesti diutamakan

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Konvensyen Tanah dan Perumahan Kuala Lumpur (Kota) 2011 hari ini berakhir dengan beberapa resolusi yang dicapai hasil pembentangan kertas kerja dan sesi dialog dengan wakil-wakil penduduk.

Resolusi yang dibacakan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub di akhir konvensyen di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru itu mengandungi beberapa desakan terhadap kerajaan untuk mengutamakan penduduk dalam setiap pembangunan yang dilakukan khususnya melibatkan kampung tradisi Melayu.

Penduduk harus diletakkan sebagai keutamaan dan pembangunan yang dirancang pula perlu bersifat menjaga kebajikan serta kualiti kehidupan penduduk.

Ia termasuk juga mewujudkan kampung tradisi khususnya di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar yang lain bagi mengelakkan kampung tradisi Melayu hilang ditelan pembangunan dan pemodenan.

Kerajaan juga perlu memberi hak milik kekal kepada penduduk yang mendiami perkampungan tradisi sebagai memastikan kawasan tersebut kekal terpelihara dan tanah rezab Melayu sekitar mesti dikekalkan.

"Perkampungan tradisi Kuala Lumpur perlu diisytiharkan sebagai perkampungan Warisan Melayu dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu membentuk sebuah jawatankuasa yang dipertangungjawabkan untuk merancang pembangunan kampung tradisi bersama wakil penduduk," katanya beliau sewaktu membacakan resolusi tersebut.

Selain itu, kerajaan diminta meningkatkan kualiti pengangkutan dan infrastruktur awam di pusat bandar dan pinggir bandar yang kini didiami sebahagian mereka yang bekerja di ibu kota.

"Hasrat kerajaan untuk menambah kapasiti penduduk kota kepada 2.2 juta menjelang 2020 perlu dihentikan selagi mana aspek pengangkutan dan infrastruktur awam yang memainkan peranan penting dalam konteks kepadatan ibu kota tidak diberi penambahbaikan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Kerajaan juga perlu merangka satu agenda untuk membolehkan kampung tradisi dikekalkan dan bagi projek perumahan rakyat (PPR) yang disasarkan untuk golongan berpendapatan rendah, perlu dilaksanakan polisi sewa beli untuk penduduk tanpa syarat yang terlalu ketat dan membebankan.

Manakala caj perlu dikenakan kepada pemaju yang gagal menyelenggaraan projek PPR dan diambil alih oleh DBKL.

Badan amanah Kampung Baru

Sementara itu, mereka mencadangkan satu badan amanah yang diwakili penduduk yang berkepentingan secara langsung ditubuhkan selain memastikan proses pembangunannya dilakukan dengan telus.

"Penubuhan tabung amanah akan mewujudkan kedua-dua jenis saham melibatkan saham tanah dan saham sewa. Ia alternatif terbaik menjadikan kawasan kekal hak milik Melayu sepenuhnya," jelasnya.

Penduduk juga mahu tanah lombong dan belukar yang belum dibangunkan dijadikan pusat kemudahan awam supaya boleh dibangunkan sebagai tanah kediaman untuk kawasan setinggan yang masih kekal.

Selain itu, kawasan kediaman sedia ada tidak perlu ditukar kepada kawasan perdagangan sebaliknya hanya memfokuskan kepada kawasan yang belum dibangunkan bagi mengelakkan terjejasnya tanah penduduk.

Tiada ulasan: