Isnin, 24 Oktober 2011

Peguam: Respons Prof Aziz Bari dihantar petang ini



KUALA LUMPUR — Prof Dr Abdul Aziz Bari akan mengemukakan respons kepada surat tunjuk sebab pengurusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), yang menjadi kontroversi akhir minggu lalu, hari ini kata peguam beliau.

“Draf surat jawapan sudah siap, Prof Aziz pun sudah luluskan, dan beliau akan menandatangani pagi ini, dan saya akan menghantar kepada UIA petang ini,” kata Dr Zulqarnain Lukman ketika dihubungi lewat malam tadi.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan kandungan respons disediakan Aziz.

“Tunggu dulu, biar kami serahkan kandungan kepada UIA,” kata beliau.

Pengurusan UIA mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Aziz (gambar) berhubung kenyataan pensyarah undang-undang itu ekoran titah Sultan Selangor berkaitan isu Gereja Methodist Damansara Utama dan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) baru-baru ini.

UIA memberi masa seminggu sehingga 4 petang esok kepada Aziz untuk menjawab surat tunjuk sebab itu.

Surat tunjuk sebab itu juga menyebut beliau digantung perkhidmatan sehingga siasatan selesai dan dilarang memasuki kampus UIA.

Jumaat lalu, Rektor UIA Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin berkata Aziz perlu menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Lembaga Disiplin, Tatatertib dan Kakitangan UIA berhubung kenyataan mempertikaikan titah Sultan Selangor.

Beliau berkata jika Aziz tidak membalas surat tunjuk sebab itu dalam masa ditentukan, pensyarah berkenaan boleh dihadapkan ke Lembaga Displin, Tataterib dan Kakitangan UIA untuk dibicarakan.

Zaleha berkata kenyataan Aziz berhubung titah ucapan Sultan Selangor akan disiasat mengikut Peraturan 15 Peraturan Tatatertib Kakitangan universiti itu.

Dalam pada itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Amidi Abdul Manan berkata, sewajarnya segala persoalan akademik dilayan secara akademik, bukan menerusi tindakan undang-undang atau seumpamanya kerana sebarang isu yang melibatkan pandangan, pendirian dan buah fikiran dalam bidang kepakaran seseorang adalah persoalan akademik.

“Seharusnya medium perbincangan dibuka seluas-luasnya menerusi forum, perbahasan dan perbincangan ilmiah. Tampilkan pandangan lain yang boleh menjadi pencabar atau alternatif kepada pandangan yang menjadi tajuk perbincangan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Amidi berkata jika perkara ini terjadi, Abim percaya kredibiliti kedua-dua pihak dapat dipelihara dan bakal menjadi teladan kepada orang ramai dalam usaha memasyarakatkan ilmu.

Katanya, Abim juga khuatir jika ada campur tangan luar yang membayangi isu ini dan jika ia berlaku, ia akan merugikan kedua-dua pihak dan akhirnya akan menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap dunia akademik di Malaysia.

“Abim menuntut isu ini diselesaikan dengan segera secara matang dan bertanggungjawab oleh semua pihak,” kata beliau lagi.

2 ulasan:

faruk berkata...

sekarang ni kita kan berada di bwah kuasa Sultan,jadi jangan lah cuba untuk bercakap buruk terhadap pemimpin kita sendiri... kan keturunan Sultan adalah keturunan Berdaulat..

awangsaribu berkata...

sah faruk ini masih mentah...manusia semua adalah dibawah kekuasaan Allah SWT tau, faruk ... Sultan pun di bawah kekuasaan Allah SWT jugak !.

kau ingat dr aziz bari tu budak tadika ke ?. dia tu prof, pakar undang-undang. bukan kutu jalan yang selalu lepak kat kedai kopi, atau macam khairy tu !.

he he he...ada gak orang yang macam kau ni ye...