Sabtu, 8 Oktober 2011

Pegawai SPRM Jadi Perompak

SELATAN ONLINE


Sepang – Tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas sembilan pertuduhan termasuk merompak, bersubahat dan menyembunyikan rancangan jenayah terhadap tiga pengurup wang yang kerugian wang berjumlah hampir RM1 juta pada September lalu.

Tiga tertuduh ialah S. Vijayarao, 33, Wan Elfie Shafizy Wan Ahmad, 30, dan Aziz Jaafar, 48. Kesemua mereka bertugas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya denganVijayarao berpangkat Pemangku Penolong Pesuruhjaya, Wan Elfie Penolong Penguasa manakala Aziz Penolong Kanan Penguasa.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa bersubahat dengan dua lagi suspek yang masih bebas merompak secara berkumpulan terhadap pengurup wang Singapura, Hameed Saadik Batcha, Abd. Rahman Mohamed Marican dan Mohamed Zakkariya Shatik sebanyak AS$300,000 (RM947,444).

Dua suspek yang masih bebas itu ialah T. Sritharan, 32, dan D. Nagarajan, 34.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu merompak dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Mereka turut didakwa bersubahat dengan Sritharan menipu kesemua mangsa dengan memperkenalkan Sritharan sebagai pegawai SPRM.

Dakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Besar, Mohamad Abazafree Mohd. Abbas, Najib Zakaria dan Peter Gregory Syril.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tandas lelaki bersebelahan Restoran Deli France, Tingkat 1, Bangunan Satellite di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada pukul 11.25 malam 15 September lalu.

Ketiga-tiga tertuduh juga didakwa sengaja menyembunyikan rancangan rompakan itu bagi memudahkan Sritharan dan Nagarajan melakukan jenayah itu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 120 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Mohd. Abzafree menawarkan jaminan RM100,000 dan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan menimbangkan mereka adalah pegawai SPRM manakala dua suspek masih bebas.

Bagaimanapun, Vijayarao yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM10,000 kerana dia ditahan kerja dan perlu menyara dua anak dan isteri hanya bekerja sebagai guru. -kosmo

Tiada ulasan: