Isnin, 10 Oktober 2011

PAS Miri: Sarawak masih ketinggalan biarpun diberi peruntukan Bajet 2011

PAS Miri


Pada bajet 2011yang lalu, Kerajaan Persekutuan yang dikuasai oleh UMNO-Barisan Nasional hanya memperuntukkan sekitar RM9.55 bilion untuk projek pembangunan di Sabah dan Sarawak sementara Semenanjung Malaysia mendapat sepuluh kali ganda dari jumlah tersebut iaitu RM110 bilion. Ini menunjukkan yang Sabah dan Sarawak terus dipinggirkan dari arus pembangunan apabila Kerajaan Persekutuan hanya memperuntukkan peruntukan yang agak kecil kalau dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia. Memang tidak mencukupi kalau dibanding dengan keluasan tanah bumi Sarawak yang hampir persamaan dengan Semenanjung Malaysia. Peruntukan sebanyak RM9.55 billion yang dikongsi bersama Sabah dan Sarawak menunjukkan bahawa Negeri di Malaysia Timor tidak begitu mendapat perhatian dari pihak kerajaan persekutuan.

Berdasarkan maklumat pada tahun 2007, Sabah dan Sarawak telah menyumbangkan 44.5% dalam bentuk minyak mentah dan 64.1% hasil pengeluaran gas asli dalam negara.

Dalam peruntukan bajet 2011 juga kerajaan Persekutuan memperuntukkan bajet sebanyak RM3.8 billion untuk projek-projek pembangunan di Sarawak tetapi sampai sekarang Sarawak masih jauh ketinggalan dari segi infrastruktur dan juga jalan perhubungan yang masih di tahap yang agak teruk kalau dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia. Kalau benar ada peruntukan khas untuk Sarawak ke mana dan macam mana peruntukan tersebut digunakan? Kita tidak mahu ada penyelewengan dalam peruntukan yang khas untuk rakyat yang masih memerlukan bantuan kerajaan.

Kita cadangkan agar setiap peruntukan yang sudah diluluskan hendaklah digunakan sepenuhnya kepada golongan sasaran dan setiap projek kerajaan hendaklah telus agar rakyat tahu ke mana hasil peruntukan tersebut digunakan. Setiap kali ada pilihanraya kecil kita sering kali mendengar pemimpin BN dengan mudah berjanji untuk memberi peruntukan segera kepada kawasan pilihanraya tersebut tanpa melalui saluran yang betul di mana setiap peruntukan tambahan perlu mendapat kelulusan parlimen sebelum dikeluarkan. Kalau pemimpin BN dengan mudah mengeluarkan peruntukan tambahan tersebut tanpa persetujuan parlimen bermakna janji tersebut umpama "gula-gula" pilihanraya saja.

Kita juga mendesak agar pemimpin BN jangan sesekali menggunakan setiap peruntukan yang sudah diluluskan sebagai janji pilihanraya mereka sebab peruntukan tersebut memang khas untuk rakyat bukan untuk kepentingan pemimpin BN. Peruntukan yang sudah mendapat kelulusan dalam parlimen memang sudah ada dalam perancangan setiap projek kerajaan yang hanya perlu dilaksanakan bukan untuk tujuan kempen pilihanraya semata-mata. Pemimpin BN jangan mengugut rakyat dengan amaran kononnya kalau rakyat menyokong pembangkang setiap peruntukan tidak akan diberi. Ini merupakan suatu kesalahan yang besar yang selalu diamalkan oleh pemimpin BN setiap kali ada pilihanraya, mereka menggunakan peruntukan kerajaan sebagai bahan kempen mereka.

Sedangkan peruntukan tersebut sudah mendapat kelulusan kabinet untuk dilaksanakan tanpa perlu mengira tempat atau kawasan penyokong kerajaan atau pembangkang. Itulah kewajiban pihak pemerintah untuk kesejahteraan rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Secara ringkasnya kita berharap agar bajet yang akan dan sudah diluluskan digunakan sebaik mungkin dan perlu dipantau agar tidak berlaku ketirisan dan penyelewengan. Selalunya kita hanya mendengar berbillion ringgit diperuntukkan untuk rakyat sedangkan hakikatnya tidak seperti yang dinyatakan. Moga-moga peruntukan yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat dan juga BN dapat dinilai sendiri oleh rakyat kerana hanya rakyat yang berhak untuk memilih yang terbaik untuk mereka.

*Kenyataan media oleh Jofri Jaraiee dari PAS Miri.

Tiada ulasan: