Rabu, 5 Oktober 2011

Nama Asri tercicir, tidak disengajakan

"Perkara itu tidak saya sengajakan. Itu cuma kesilapan dalam teks kata pengantar," kata Timbalan Presiden PAS.



PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS Mohamad @ Mat Sabu hari ini menyifatkan tindakannya yang tidak menyebut nama bekas Presiden PAS Tan Sri Datuk Dr Mohd Asri Muda dalam kata pengantar di ruangan Sekapur Sireh adalah tidak disengajakan.

Kata pengantar oleh Timbalan Presiden PAS itu ditulis dalam ruangan ‘Sekapur Sireh’ dan didapati ketika Kongres Sambutan 60 tahun PAS di Kepala Batas Ahad lepas.

Mat Sabu menegaskan walaupun dalam kata pengantar itu tidak tertulis nama Asri, namun ketika ucapan dalam kongres tersebut beliau mengakui menyebut nama bekas Presiden PAS terbabit.

“Perkara itu tidak saya sengajakan. Itu cuma kesilapan dalam teks kata pengantar. Bukan sebab beliau (Asri) keluar PAS dan menyertai Umno maka saya tidak mahu menulis namanya dalam teks kata pengantar itu…bukan seperti itu.

“Malahan nama Ahmad Fuad Hassan pun tidak tertera dalam teks kata pengantar itu. Tetapi saya ada menyebut nama mereka semasa memberikan ucapan dalam Kongres tersebut,” katanya ketika dihubungi FMT.

Perkara itu ditimbulkan sebuah blog nukilan ‘Merah Tinta MSO’ melalui tulisan Luahan Malam: Kenapa Mat Sabu Lupa Asri? sekaligus mempersoalkan tindakan Timbalan Presiden PAS terbabit.

Melalui kata pengantar di ruangan Sekapur Sireh itu Mat Sabu menyebut “Di kesempatan ini kita memperingati dan belajar dari Dr Burhanuddin Helmi, Zulkifli Mohamad, Abbas Alias, Mohd Yusuf Rawa, Fadzil Noor dan sejumlah mujahid yang telah pergi.”

Jurublog itu turut menulis “Mungkin nama Asri alergik kepada Mat Sabu di atas apa yang berlaku maka Mat Sabu merasakan tidak wajar nama Asri keluar dari mulutnya. Tetapi Mat Sabu dan PAS serta sekalian orang dalam PAS yang benci Asri perlu ingat dan sedar bahawa ada juga mereka yang terkenang kepada Asri”.

Asri merupakan Presiden PAS keempat menggantikan Dr Burhanuddin Helmi yang ketika itu menjadi tahanan ISA pada 1965 hingga 1966 dan beliau dikenali sebagai tokoh yang bertanggungjawab membawa PAS menjalinkan kerjasama dengan Umno-Barisan Nasional pada tahun 1973.

Tokoh tersebut juga turut dikaitkan dengan pelbagai spekulasi dan masalah melibatkan PAS di Kelantan sehingga menyebabkan tercetusnya Krisis Kepimpinan PAS pada 1977 sehingga berlaku rusuhan oleh penyokong Menteri Besar Datuk Muhammad Nasir ketika itu.

Tindakan itu membawa kepada Parlimen meluluskan rang undang-undang darurat Kelantan yang meletakkan negeri tersebut ditadbir secara terus oleh kerajaan Pusat.

Melalui tulisan jurublog terbabit juga, turut dibangkitkan ialah mengenai senarai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat 2011-2013 yang tidak menyenaraikan tiga Dewan; Ulamak, Pemuda dan Muslimat.

Malah apa yang dikesalkan jurublog, adalah buku itu tidak mencatatkan jawatan Mursyidul Am PAS yang kini dipegang Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Timbalannya Datuk Haron Din.

Tiada ulasan: