Ahad, 23 Oktober 2011

Najib kecewa ada MP hanya bawa isu remeh-temeh

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Bajet 2012 bukan hanya sekadar untuk menghulur bantuan seperti apa yang telah diperkatakan oleh sesetengah pihak, tetapi ia bertujuan untuk mengurangkan tahap pinjaman kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata sasaran belanjawan itu adalah untuk membantu kumpulan-kumpulan yang paling memerlukan, termasuk keluarga yang berpendapatan rendah, pelajar sekolah dan pelajar tingkatan enam serta mahasiswa universiti, selain kawasan luar bandar yang berhak menerima hasil dari kekukuhan ekonomi negara.

“Pada dasarnya, belanjawan ini adalah untuk masa hadapan Malaysia, saya telah mengumumkan peluang-peluang baru untuk pelaburan asing, pembaharuan yang besar bagi perkhidmatan awam dan perkongsian baru dengan sektor swasta dalam membangunkan infrastruktur kita,” katanya dalam entri terbaru blognya www.1malaysia.com.my yang bertajuk ‘Perbualan Sarapan Pagi Ahad’ di sini.

Pada 9 Oktober lepas, Najib bersama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan anak perempuannya telah bersarapan pagi di Restoran Village Park di Uptown Damansara Utama.

Tujuannya ke sana bukan untuk tarikan media, tetapi beliau mahu mencuba tempat-tempat sajian popular di Lembah Klang dan menggunakan kesempatan itu untuk mendengar pandangan orang ramai.

“Mereka yang telah saya temui sewaktu sarapan pagi Ahad itu ternyata amat senang dengan rancangan belanjawan saya. Tetapi mereka juga mahu yakin akan pelaksanaannya,” katanya dipetik Bernama Online.

Najib (gambar) berkata beliau telah menjelaskan kepada pejabatnya, kementerian dan jabatan bahawa pelaksanaan adalah kunci kepada kejayaan dan keharmonian untuk rakyat.

“Namun begitu, ikrar saya kepada mereka yang telah saya temui pada Ahad itu, dan kepada anda semua adalah walau apapun rintangan yang datang mengganggu, saya akan tetap fokus untuk melaksanakan transformasi yang amat diperlukan oleh Malaysia,” katanya.

Najib berkata ketika bertemu rakyat dalam keadaan yang tidak formal, beliau mendapati bahawa pandangan dan permasalahan yang disuarakan rakyat selalunya berbeza dengan isu yang dibangkitkan di Parlimen.

“Di Parlimen, penekanan kepada ‘point scoring’ sering mengetengahkan isu-isu remeh yang sebenarnya tidak membawa manfaat kepada rakyat sama ada di bandar atau di kampung-kampung.

“Saya dapati rakyat jelas mengenai perkara yang penting bagi mereka. Mereka bimbang mengenai kesan ketidaktentuan ekonomi global ke atas kos kehidupan.

“Mereka bekerja keras untuk memberikan yang terbaik untuk kehidupan anak-anak mereka dan mereka ingin tahu apa lagi yang mereka boleh lakukan untuk membantu anak-anak mereka menempuhi dunia yang pantas berubah ini,” katanya.

Najib berkata sayangnya, isu daripada perspektif sebegitu tidak menjadi tumpuan di Parlimen, sekiranya ahli politik berbuat demikian, mungkin mereka akan lebih dihormati.

“Mungkin sesetengah ahli politik hanya mahir beroperasi dengan memporak-perandakan negara dan memfokuskan kepada apa-apa isu remeh yang boleh menaikkan nama mereka.

“Itu hak mereka, dalam demokrasi, ahli politik berhak ‘membuka kedai’ mereka untuk para pengundi membuat pilihan. Walau apapun, saya harap Belanjawan 2012 ini dapat menjelaskan kepada rakyat bahawa kerajaan mendengar luahan mereka mengenai isu-isu yang penting,” katanya.

Tiada ulasan: