Jumaat, 28 Oktober 2011

Mohd Amar jurucakap hudud

Nik Aziz berkata beliau tidak akan lagi bercakap mengenai hudud kerana inilah masanya untuk bertindak dan melaksanakannya.



RANTAU PANJANG: Exco kerajaan negeri Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah dilantik sebagai jurucakap pelaksanaan undang-undang hudud di negeri itu, demikian menurut Menteri Besar Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Pendidikan dan Pembangunan Islam negeri ialah timbalan pengerusi I jawatankuasa teknikal hudud. Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob ialah pengerusi jawatankuasa itu, di petik dari sebuah akhbar arus perdana hari ini.

Nik Aziz berkata beliau tidak akan lagi bercakap mengenai hudud kerana inilah masanya untuk bertindak dan melaksanakannya. Era hanya cakap-cakap kosong tentang hudud sudah berakhir.

“Saya berjanji kepada jawatankuasa teknikal bahawa saya tidak akan lagi bercakap pasal hudud atau membuat kenyataan umum tentang perkara ini. Hanya Mohd Amar yang akan bercakap tentang hal ini bagi mengelak kekeliruan,” katanya selepas majlis pelancaran syarikat perlombongan, Interbumi Mining Sdn Bhd di sini semalam.

Sementara itu, di Batu Pahat, Presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek mencabar wakil-wakil bukan Islam dalam Pakatan Rakyat supaya memikirkan tentang undang-undang hudud yang hendak dilaksanakan oleh PAS di Kelantan.

“Mereka hendaklah menyuarakan pandangan mereka kerana ia akan memberi kesan di seluruh negara walaupun undang-undang itu hanya untuk orang Islam.

“Adalah penting wakil bukan Islam dalam Pakatan menyatakan pendirian mereka. Kita faham bahawa adalah hak orang-orang Islam untuk melaksanakan hudud tetapi jika ‘dipaksakan’ ke seluruh negara akan mendatangkan kesan buruk,” katanya ketika menghadiri mesyuarat MCA di sini semalam.

Tiada ulasan: