Selasa, 18 Oktober 2011

MDKL Mula Tugas Pengambilalihan Pengurusan Sisa Pepejal

Oleh Naeem Raffi


BANTING : Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) kini menguruskan sendiri sisa pepejal dikawasan pentadbirannya sebaik pengambilalihan kerja-kerja kutipan sisa pepejal oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor daripada Alam Flora.

Yang DiPertua MDKL, Abdul Razak Jaafar berkata, MDKL menerusi Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Persekitaran (JPBP) kini dalam rangka kerja meningkatkan keupayaan dan kebolehan menguruskan sisa pepejal di kawasan operasi di daerah ini bagi memastikan penduduk tidak menghadapi kesukaran untuk melupuskan sisa pepejal tersebut.

Abdul Razak juga berkata, MDKL telah bersedia dalam menguruskan hal-hal sisa pepejal ini serta MDKL tidak menghadapi sebarang kesukaran dalam menguruskannya dengan adanya pegawai dan kakitangan yang mempunyai kebolehan yang tinggi.

"Ini dapat dilihat dari proses urusan pengambilalihan pengurusan sisa pepejal di Kuala Langat yang telah berjalan dengan lacar dan terkawal. Semua pihak yang terlibat di dalam proses ini seperti pihak AFSB dan kontraktor telah memberikan kerjasama yang baik dan perkara ini dapat diselesaikan dengan jayanya,"katanya

Alam Flora Sdn Bhd tidak lagi menjalankan tugas mengutip sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri Selangor mulai Ahad lalu.

Ini berikutan pengambilalihan sepenuhnya perkhidmatan berkenaan oleh kerajaan negeri Selangor.

Sejajar dengan itu, kerajaan negeri mengesa rakyatnya mengemukakan sebarang aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata pihaknya berharap kerjasama dan keperihatinan orang ramai agar tidak membuang atau meninggalkan sampah di tepi-tepi jalan atau di tempat yang tidak sepatutnya.

Penduduk di kawasan pentadbiran MDKL boleh menghantar aduan di talian aduan mengenai permasalahan sisa pepejal tersebut melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip MDKL ADUAN dan hantar ke 15888.

Bagi tujuan menyemak status aduan pengguna perlu taip MDKL SEMAK dan hantar ke 15888.

Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi Unit Aduan MDKL di talian 03 - 3187 2825 / 2732 sambungan 138 untuk berhubung terus kepada Pegawai Khidmat Pelanggan.

"Hanya dengan kerjasama yang jitu daripada penduduk dengan menghantar aduan dengan cara ini, MDKL akan dapat melaksanakan sebarang tindakan pantas dengan lebih berkesan dan cepat dalam meningkatkan lagi perkhidmatan MDKL," jelas Abdul Razak.

Beliau juga berharap agar tiada pihak yang akan mengambil kesempatan terhadap isu ini bagi mengeruhkan lagi keadaan dan mengganggu gugat kesefahaman yang telah tercapai di antara MDKL dan pihak yang terlibat.

Abdul Razak juga menyeru agar seluruh penduduk Kuala Langat memberikan kerjasama dan sokongan kepada MDKL dalam menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal yang terbaik demi kepentingan bersama.

Tiada ulasan: