Isnin, 17 Oktober 2011

Liwat II: Pembelaan tutup kes tanpa panggil saksi baru



Hafiz Yatim

Ketika pihak pembelaan dalam kes perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim menutup kes mereka hari ini dengan keputusan untuk tidak memanggil saksi baru, mahkamah hari ini memberi kebenaran kepada pihak pendakwaan untuk memanggil saksi penyanggah.

NONEIni berikutan tidak terdapat sebarang bantahan oleh peguam Anwar, - Karpal Singh berhubung permohonan pendakwaan untuk memanggil saksi-saksi berkenaan.

"Kami tidak mempunyai sebarang halangan tetapi tertakluk kepada sama ada keterangan itu boleh diterima," kata Karpal.

Dalam erti kata lain, pendakwaan hari ini membuka semula kes mereka dengan permohonan memanggil empat orang saksi bagi menyanggah keterangan yang dibuat oleh pakar ortopedik Dr Thomas Hoogland (atas, kanan).

Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden memberitahu mahkamah bahawa mereka memohon untuk penangguhan berikutan perkembangan terhadap saksi ketujuh.

"Saksi ketujuh (Hoogland) telah membawa isu-isu sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai keupayaan melakukan perkara yang dituduh di mahkamah.

mohd yusof zainal abiden"Inil diperuntukkan oleh undang-undang untuk memanggil saksi-saksi penyanggah. Saya telah bincang perkara ini dengan Karpal dan saya percaya mereka tidak membantah," katanya.

Yusof (kiri) juga memberitahu pihaknya akan memanggil empat orang saksi dan mereka akan memberi keterangan ringkas mengenai kenyataan Hoogland berhubung ‘keupayaan’ Anwar.

Soalan-soalan, katanya akan dikemukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nordin Hassan yang merupakan timbalan ketua I, bahagian pendakwaan di Pejabat Peguam Negara.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata beliau akan mendengar keterangan itu esok.

Selain Hoogland, pihak pembelaan turut bersandar kepada keterangan dua saksi forensik dari Australia, Dr Brian McDonald and Dr David Wells.

Anwar, 64, menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di Kuala Lumpur antara 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Tiada ulasan: