Jumaat, 7 Oktober 2011

Ku Li: Klip Undilah bagus, tapi kalau nak haram teruskan


KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen veteran Tengku Razaleigh Hamzah mempertahankan peranan beliau dalam klip video Undilah dengan menegaskan beliau hanya membawa mesej yang menggalakkan rakyat agar mendaftar untuk mengundi semasa pilihan raya.

Meskipun berhadapan dengan kritikan kononnya mesej klip itu anti-Barisan Nasional (BN), pemimpin Umno itu sebaliknya menunjukkan isyarat tanda bagus.

“Bagus. Tetapi jika mereka yang berkuasa mahu mengharamkan, maka teruskan,” kata beliau ketika ditemui di bangunan Parlimen hari ini.

Dalam komen pertamanya ini, Razaleigh berkata segmen melibatkan beliau, yang muncul di peringkat awal, dirakamkan secara berasingan tanpa kehadiran mana-mana peserta lain dan ketika itu tidak tahu siapa lagi yang akan menjayakannya.

“Saya hanya meminta orang ramai agar mendaftar untuk mengundi. Sebenarnya, ramai orang Melayu masih belum mendaftar,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang.

Klip itu yang telah ditonton lebih 500,000 kali juga memaparkan kemunculan penulis lirik kontroversial Wee Meng Chee, yang dikecam mengkritik Malaysia dan dilabel anti-Melayu.

Bagaimanapun minggu lalu Perdana Menteri Datuk Seri Naji Razak menyifatkannya sebagai pendukung kuat gagasan 1 Malaysia.

Banyak pihak yang mengecam tindakan kerajaan mengharamkan klip itu daripada disiarkan oleh stesen penyiaran tempatan.

Misalnya, Ketua Pemuda BN dan Umno Khairy Jamaluddin berkata, langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melarang penyiaran klip video Undilah menerusi televisyen tempatan satu tindakan yang tidak wajar selain merosakkan imej perikatan itu.

Baru-baru ini Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, klip video Undilah tidak sesuai ditayangkan kerana ia mengandungi babak yang tidak disenangi segolongan masyarakat.

“Klip video itu juga mengandungi iktibar yang tersirat yang mengelirukan beberapa pihak,” kata Rais.

Katanya, penarikan semula penyiaran klip video itu dibuat kerana ia tidak mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

SKMM, agensi di bawah portfolio Rais, sebelum ini menyatakan klip video Undilah belum mendapat kelulusan LPF untuk siaran, dan oleh itu, ia tidak sepatutnya disiarkan menerusi televisyen.

Kenyataan SKMM itu menyusul laporan The Malaysian Insider yang menyebut bahan terbitan Pete Teo itu dilarang diterbitkan kerana memaparkan kemunculan beberapa wakil rakyat pembangkang dan juga mesej Tengku Razaleigh yang menyentuh bahawa Malaysia berhadapan dengan beberapa masalah.

Difahamkan SKMM memberi arahan kepada stesen penyiaran tempatan minggu ini selepas ia mula ke udara sempena sambutan Hari Malaysia.

Selain Tengku Razaleigh, yang juga Ketua Umno Gua Musang dan Datuk Dr Wee Ka Siong dari MCA-BN, turut menjayakan klip itu ialah Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin yang juga Ketua Puteri Umno.

Personaliti lain termasuklah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad masing-masing dari DAP, PKR, PAS dan PKR.

Pelakon Afdlin Shauki dan Wee merupakan antara individu terpilih untuk mendendangkan lagu Undilah.

Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat. Kira-kira empat juta rakyat negara ini yang layak untuk mengundi belum mendaftar sebagai pemilih.

Turut disenaraikan dalam klip itu ialah pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.

Tiada ulasan: