Selasa, 18 Oktober 2011

Kes fitnah: Permohonan Hisham batal pembelaan Anwar didengar 27 Okt

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan 27 Oktober untuk mendengar permohonan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk membatalkan sebahagian kenyataan pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam saman berhubung video seks memaparkan pelaku mirip ketua pembangkang itu.

Dipetik Bernama Online, peguam Sunil Abraham, yang mewakili Hishammuddin berkata permohonan itu akan didengar oleh Hakim Datuk V T Singham.

Pada 26 April, Hishammuddin memfailkan saman fitnah terhadap Anwar berhubung wawancara ketua pembangkang itu dengan wakil media pada 22 Mac di Balai Polis Dang Wangi, selepas membuat laporan menafikan yang dirinya adalah lelaki dalam video itu.

Hishammuddin berkata kata-kata dalam temu bual itu antara lain bermaksud yang beliau bertanggungjawab menayangkan video berkenaan kepada sekumpulan editor dan wartawan di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac.

Menteri itu berkata kata-kata itu juga bermaksud yang beliau telah mengaturkan penayangan video itu dan berkomplot dengan perdana menteri dan pegawai tinggi polis berhubung penayangan video itu.

Dalam pernyataan pembelaannya, Anwar berkata kata-kata beliau dalam wawancara itu telah diterbitkan atas kapasiti pelindungan bersyarat dan kedudukannya sebagai ketua pembangkang.

Anwar turut memfailkan kenyataan balas menyatakan kata-kata Hishammuddin pada sidang media yang diadakan beliau pada 21 Mac, seolah-olah mengesahkan kenyataan oleh tiga individu yang mendedahkan video itu bahawa pelaku dalam video itu adalah dirinya (Anwar).

Hishammuddin, dalam jawapannya, berkata Anwar mempunyai niat buruk semasa mengeluarkan kata-kata memfitnah itu yang kemudiannya telah dilaporkan secara meluas di media dan internet.

Beliau berkata kata-kata itu bukan diterbitkan dengan niat baik dan motif utama Anwar ialah untuk mencemarkan reputasinya sebagai menteri dan ahli politik.

Tiada ulasan: