Jumaat, 7 Oktober 2011

Husam: Pengurusan kewangan Kelantan terbaik

Majlis Agama Islam Kelantan, Majlis Daerah Gua Musang, Perbadanan Stadium dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan diiktiraf sebagai yang paling baik.



PETALING JAYA: Jabatan Audit Negara mengiktiraf kebijaksanaan Kelantan mengurus kewangannya dan dianggap sebagai terbaik bagi tahun lalu, kata Exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa.

“Empat agensi kerajaan negeri iaitu Majlis Agama Islam Kelantan (Maik), Majlis Daerah Gua Musang, Perbadanan Stadium dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (Pkink) diiktiraf sebagai yang paling baik,” katanya.

Husam yang juga naib presiden PAS berkata, mengikut laporan Ketua Audit Negara, beberapa kategori iaitu kumpulan wang yang disatukan meningkat sebanyak RM51.07 juta atau 52 peratus iaitu kepada RM148.3 juta tahun 2010 dari RM97.23 juta pada 2009.

Katanya, bagi wang tunai pada 2010 juga meningkat berbanding tahun 2009 iaitu kepada RM131.97 juta dari RM79.60 juta iaitu peningkatan sejumlah RM53.37 juta atau 65.8 peratus.

Beliau menambah, 15 agensi kerajaan negeri lain juga diakui berprestasi baik oleh Jabatan Audit Negara.

“Sebanyak 18 penyata akaun agensi negeri telah diserahkan kepada Jabatan itu dan diakui cemerlang oleh Jabatan tersebut,” kata Husam.

Menurut beliau, kewangan negeri Kelantan juga mengalami peningkatan prestasi sebanyak 2.2 peratus berbanding tahun 2009.

Katanya, defisit kewangan tahun 2009 ialah sebanyak RM19.46 juta berbanding tahun 2010 hanya RM 3.46 juta.

Husam berkata hasil negeri juga meningkat kepada RM379.64 juta pada tahun lalu berbanding RM334.81 juta tahun 2009 iaitu peningkatan sebanyak RM44.83 juta atau 13.4 peratus.

Tiada ulasan: