Jumaat, 7 Oktober 2011

Hadi kecewa Umno, pendukungnya fitnah hudud hukum ciptaan PAS


KUALA LUMPUR— Datuk Seri Abdul Hadi Awang kecewa kerana PAS itu terus dituduh dan difitnah oleh Umno dan penyokong mereka kononnya hukum hudud yang diharsatkan mereka untuk diperkenalkan khususnya di Kelantan sekarang merupakan satu perundangan ciptaan parti itu.

“Di Parlimen penggal 1990-1995 saya pernah mengemukakan usul supaya diselesaikan perkara ini tetapi ditolak begitu sahaja. Di sana ada pula tuduhan bahawa undang-undang itu ciptaan PAS. Walaupun semua tahu bahawa undang-undang syariat yang dinaskan dalam al-Quran dan hadis adalah jelas, tetapi PAS tetap dituduh dan difitnah,” kata beliau dalam satu tulisan disiarkan oleh Harakahdaily hari ini di sebalik polemik ini yang muncul semula pertengahan bulan lalu.

Sejak itu ramai menyifatkan ia menjadi isu semula menjelang pilihan raya umum ke-13.

Presiden PAS ini menambah, apabila PAS menyatakan kesediaannya untuk bermuzakarah dan ada pihak ketiga yang bersedia menjadi orang tengah, maka Umno mengelakkan diri. Umno yang menerima kemerdekaan bersyarat daripada penjajah itu, sepatutnya tempoh masa lebih 50 tahun telah diberi bagi melupuskan syarat yang sudah ketinggalan zaman penjajahan itu, tetapi masih terus mengekalkannya.

Sehubungan itu, bekas menteri besar Terengganu ini menyoal adakah Umno masih terikat dengan penjajah atau berfikiran penjajah.

“Maka eloklah kita merdekakan fikiran atau merdekakan diri daripada Umno. Malangnya pula media yang berada di bawah ketiak Umno yang sudah lama berpeluh itu menggunakan pekerja dan khadam yang beragama Islam menyiarkan rencana dan kartun-kartun yang menyindir hukum-hukum yang dinaskan dengan firman Allah dan sabda Rasulullah s.a.w.,” kata beliau.

Kerajaan negeri Kelantan menggubal enakmen hudud pada 1993 dan Terengganu ketika dipimpin Hadi (gambar) 10 tahun kemudian.

Hadi berkata mereka pula tidak membaca hukumnya yang berat terhadap orang-orang yang seperti itu secara nyata didedahkan dalam buku Mustika Hadith Jilid Pertama yang diterbitkan oleh Jabatan Perdana Menteri sejak tahun 1970-an.

“Bagi penganut Islam, jangan dipandang mudah dan ringan untuk mempermainkan isu ini sekadar undi pilihan raya, nanti menang di dunia dan kalah di dalam kubur dan terjunam di hari akhirat,” katanya lagi.

Kata Hadi, banyak kenyataan ditujukan kepada PAS supaya melaksanakan syariat khususnya hukum hudud yang menjadi sasaran untuk menghina Islam atau sesiapa sahaja yang mendesak hukum Islam dilaksanakan sepenuhnya.

“PAS dicabar melaksanakannya kerana memerintah beberapa kerajaan negeri,” kata beliau.

Ahli Parlimen Marang ini juga menambah, kalangan mereka yang mencabar itu lebih bertujuan untuk menakutkan khususnya masyarakat bukan Islam bagi memancing undi pilihan raya, pada hal mereka berkuasa sepenuhnya sejak lebih 50 tahun.

“Sekiranya dicetuskan oleh penganut agama lain atau para orientalis tidaklah menghairankan.

“Namun apa yang menghairankan ialah suara yang lantang datang daripada kalangan mereka yang mengaku Islam dan menunjukkan sebahagian daripada aktiviti Islam kepada masyarakat awam sehingga menjemput Imam Masjidilharam bagi menjenamakan Islamnya,” kata beliau lagi.

Hadi seterusnya menulis, perlu difahami bahawa Islam adalah agama yang merangkumi segala aspek fitrah manusia, menjadikannya berbeza dengan takrif agama lain dan teori ciptaan manusia.

Katanya, Islam hendaklah dikenali secara menyeluruh, kerana setiap aspek dalam ajaran Islam berkait di antara satu sama lain, laksana mata rantai yang tidak boleh dipisahkan.

“Undang-undang hudud adalah berkait dengan undang-undang jenayah yang banyak cabangnya,yang berkait pula dengan sistem kehakimannya sendiri, berkait juga dengan fikah, syariat, akidah dan akhlak yang ada roh perhitung an dosa dan pahala.

“Kalau silap melaksanakannya, ketua negara dan hakim yang masuk neraka, bukannya penjenayah,” katanya lagi.

Kata Hadi, mengenali Islam dengan hukum hudud sahaja boleh menjadikannya laksana “seorang buta yang mengenali gajah dengan hanya memegang salah satu anggotanya tanpa mengetahui seluruh jasad dan perangai gajah.”

“Mereka bukan sahaja terus-menerus tidak kenal gajah, bahkan boleh binasa dipijak gajah,” kata beliau sambil menambah, Islam seringkali menjadi mangsa tuduhan ganas dan keras kerana hukum hudud tanpa memahami dan melihat pelaksanaan, syarat dan adabnya secara menye luruh.

Beliau seterusnya mengecam bahawa mereka yang mempertikaikan berkenaan hudud memejam mata terhadap hukuman bunuh dengan gantung di tali secara mencekik yang primitif dan sangat zalim. “Begitu juga hukuman sebat yang diamalkan di penjara seperti zaman batu dan banyak lagi bentuk hukuman lain.

“Sekiranya mereka membaca dan mengkaji semua pelaksanaan hukum Islam dan dibuat perbandingan, nescaya mereka tahu betapa jauh perbezaannya,” kata beliau dan berkata, “ini kerana hukum Islam itu lebih bersikap mendidik secara yang menakutkan, bukannya menyeksa, tetapi mencapai matlamat maslahah yang tidak boleh dipertikaikan bahawa ianya membawa kebaikan dan menolak kemudaratan.”

Tiada ulasan: