Isnin, 31 Oktober 2011

GMP sedia turun ke jalan jika NGO pro-PPSMI buat demo



KUALA LUMPUR — Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) yang pernah mengadakan perhimpunan besar-besaran tiga tahun lalu berhubung dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris bersedia untuk turun semula ke jalan jika ada pihak mengambil tindakan sedemikian menuntut dasar lama dikembalikan.

Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata, Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VII yang berakhir semalam tetap dengan pendirian tegas menentang segala bentuk dasar yang boleh mengembalikan PPSMI ke dalam sistem pendidikan negara.

Zainal yang juga ahli jawatankuasa resolusi kongres tersebut turut menyelar tindakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) yang menuntut kerajaan mempertimbangkan semula cadangan agar diberi opsyen untuk belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ekoran keputusan memansuhkan PPSMI.

“Tindakan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin memansuhkan PPSMI adalah satu tindakan yang wajar kerana PPSMI melanggar undang-undang, melanggar Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendidikan dan juga Akta Bahasa Kebangsaan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Kami menyokong tindakan menteri menghapuskan dasar itu kerana kerajaan adalah pelaksana undang-undang negara,” katanya lagi.

Sewaktu kongres di Dewan Bahasa dan Pustaka itu berlangsung semalam, terdapat desas-desus yang menyatakan akan ada pihak mahu membuat demonstrasi hari ini.

Semalam, PAGE memberi amaran bahawa Barisan Nasional (BN) akan berhadapan dengan risiko kehilangan undi dalam pilihan raya umum ke-13 jika terus menghalang pelajar daripada mempelajari matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris.

“Jika ia (keputusan mengenai PPSMI) adalah bersifat politik, beri kami opsyen PPSMI di sekolah-sekolah rendah dan menengah kebangsaan dan kami akan berikan anda majoriti dua pertiga, yang anda terus menyukarkan kami untuk lakukan.

“Jangan biarkan kami beri undi kepada pembangkang,” kata Pengerusi PAGE Datin Noor Azimah Abdul Rahim dalam satu kenyataan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.

Noor Azimah berkata PAGE akan menghantar surat rayuan kepada Najib hari ini.

Isnin lalu, The Malaysian Insider membawa laporan memetik GMP menggesa Najib membuat penegasan bahawa keputusan memansuhkan dasar pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris tidak dikaji semula ketika terus wujud gesaan agar kerajaan membenarkan ospsyen dwibahasa kepada pelajar.

PAGE mengambil pendirian itu ekoran kenyataan Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri kelmarin, antara lain menegaskan sistem pendidikan negara ini akan kucar-kacir jika kerajaan membenarkan pemilihan bahasa pengantar sama ada Bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris.

Muhyiddin berkata keputusan kerajaan untuk memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan memansuhkan PPSMI harus dihormati dan diterima baik semua pihak.

Katanya, ini kerana sistem pendidikan negara akan menjadi kucar-kacir sekiranya kerajaan memberi kebebasan kepada ibu bapa memilih bahasa pengantar untuk anak-anak mereka mempelajari sains dan matematik di sekolah.

“Sukar bagi Kementerian Pelajaran untuk merancang cara bagaimana sebuah sekolah mahukan Bahasa Inggeris, manakala yang sebuah lagi mahukan Bahasa Melayu dan bagaimana pula untuk menyediakan guru-gurunya.

“Pada hari ini kita tahu sesetengah guru Bahasa Inggeris kita pun tidak berapa cekap...jadi kalau sesetengah sekolah nak Bahasa Inggeris (tetapi) sekolah itu tidak mempunyai guru Bahasa Inggeris yang baik (maka) ia tidak akan tercapai,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberi jaminan bahawa kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris tidak akan diketepikan setelah PPSMI dimansuhkan.

Tiada ulasan: