Rabu, 26 Oktober 2011

Gara-gara ponteng sekolah, pelajar dirogol rakan sendiri

KENINGAU KINI

KENINGAU: Gara-gara ponteng sekolah dan minum arak jenis ‘tanduay’ seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua di salah sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Apin-Apin dirogol oleh rakan pelajar lelaki dari sekolah yang sama.

Sebelum kejadian kira-kira jam 12.00 tengah hari pada Jumaat lepas mangsa bersama suspek dan empat lagi pelajar perempuan yang lain ponteng sekolah dan pergi ke sebuah rumah usang di sebuah kampung berhampiran sekolah.

“Sampai di rumah usang itu mereka berpesta dengan minuman ‘tanduay’ sehingga mabuk menyebabkan dua daripada empat pelajar perempuan dalam kumpulan ‘kaki ponteng’ itu tertidur di dalam rumah usang itu kerana mabuk kira-kira jam 4.00 petang,” kata Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Suprintendan Polis (DSP) Zahari Mohamed yang mengesahkan kejadian itu.

Pada masa itu katanya, dua daripada pelajar perempuan itu telah keluar dari rumah usang itu.

“Setelah dua daripada rakan mangsa beredar sementara yang dua lagi tertidur, suspek yang telah mabuk bertindak merogol mangsa secara paksa,” jelas Zahari.

Ekoran kejadian itu katanya, mangsa telah mengalami kecederaan ringan pada bahagian bibir, lengan kanan dan kaki kiri dan telah dirujuk ke Hospital Keningau dan kemudian Hospital Likas.

Zahari memberitahu mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan sedikit tertekan.

Katanya, suspek, yang telah dikenalpasti hasil soal-siasat yang dijalankan, telah ditangkap pada hari yang sama, jam lebih kurang 9.15 malam di rumah di Kampung Umpason, Jalan Apin-Apin, Keningau.

Siasatan awal mendapati, suspek juga pelajar Tingkatan Dua dan berumur 14 tahun dan empat pelajar perempuan yang lain dari sekolah yang sama.

Menurut Zahari, suspek ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut.-nst-

Tiada ulasan: