Rabu, 5 Oktober 2011

BN terus tindas Orang Asal

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Kerajaan BN ternyata terus menindas Orang Asal apabila masih belum meminda sebarang undang-undang untuk menjaga tanah mereka, walaupun telah 54 tahun memegang tampuk pemerintahan di negara ini.

Disebabkan perkara itu, tanah-tanah Orang Asli boleh diceroboh dengan mudah oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, memandangkan Orang Asli sendiri tidak mempunyai sebarang hak di sisi undang-undang untuk mempertahankan hak mereka.

Pesuruhjaya Suhakam, Jannie Lasimbang menegaskan, keadaan itu berbeza berbanding Orang Asal atau Orang Asli di Sabah dan Sarawak kerana mereka mempunyai undang-undang khusus untuk menjaga tanah mereka di bawah undang-undang Tanah Adat.

Menurut beliau, ketiadaan undang-undang khusus bagi menjaga tanah Orang Asli di Semenanjung tidak sepatutnya berlaku kerana mereka juga sepatutnya mempunyai undang-undang tersendiri berhubung perkara itu seperti juga kaum-kaum lain di negara ini.

Kata, jika Orang Asli di Sabah dan Sarawak mempunyai undang-undang berhubung dengan tanah, memang pelik jika di Semenanjung Malaysia sebaliknya pula.

"Orang Asal atau Orang Asli di Semenanjung sememangnya telah lama sedar mengenai perkara itu dan mereka sering menyuarakan rasa tidak puas hati mereka mengenainya kepada pihak Suhakam.

"Suhakam juga sedar perkara ini. Oleh itu, Suhakam telah pun memberikan cadangan kepada pihak kerajaan supaya menggubal undang-undang khusus mengenai tanah Orang Asli bagi menjaga kebajikan mereka," katanya pada sidang media di pejabat Suhakam, di sini, hari ini.

Ketiadaan undang-undang khusus terhadap tanah Orang Asli di Semenanjung, menurut beliau, menyebabkan tanah-tanah mereka semakin hari semakin banyak diceroboh oleh pelbagai pihak termasuk untuk pembangunan, pembinaan industri dan sebagainya.

Katanya, walaupun mereka berusaha menghalangnya, tetapi mereka gagal bertindak lebih jauh untuk mempertahankan hak mereka disebabkan tidak dapat dirujuk dengan sebarang undang-undang untuk mereka mempertahankan hak mereka.

"Bayangkanlah betapa rumitnya hidup mereka. Disebabkan perkara itu, tak mustahillah jika mereka sering merungut mengenai perkara itu.

"Jika Orang Asal di Sabah dan Sarawak yang ada undang-undang pun turut mengalami kepayahan kerana tanah-tanah mereka sering diceroboh, apatah lagi Orang Asli di Semenanjung yang tidak diberikan kebajikan dari sudut undang-undang mengenai perkara ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasny Agam pada sidang media itu turut menjelaskan, ketiadaan undang-undang bagi tanah Orang Asli menyebabkan pelbagai kebajikan lain terhadap kaum itu terus terabai.

"Dengan itu, tidak hairanlah jika Orang Asli di negara ini termasuk dari Semenanjung masih jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain termasuk dari segi pelajaran dan ekonomi," tegasnya.

Perkara itu, jelas beliau, tidak boleh dibiarkan oleh pihak kerajaan kerana Orang Asli seperti juga kaum-kaum lain tetap mempunyai hak asasi mereka sendiri yang perlu dijaga.

"Selain memberikan hak asasi kepada mereka, setiap pihak perlu juga menghormati hak mereka itu kerana setiap pihak mempunyai hak asasi mereka sendiri yang perlu difahami oleh setiap pihak," tegas beliau.

Tiada ulasan: