Isnin, 10 Oktober 2011

BN sembunyi dapat dana sehingga PRU13?


KUALA LUMPUR - Duit tidak mungkin jatuh dari langit, dan dengan ekonomi dunia yang sedang meleset, adakah kerajaan BN sedang menyembunyikan langkah-langkah drastik untuk mendapatkan dana sehingga selepas Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13)?

Begitulah reaksi Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap bajet yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat yang lalu.

Bajet 2012 yang diumumkan Najib memperuntukkan jumlah perbelanjaan melebihi jumlah pendapatan buat 14 tahun berturut-turut, dengan anggaran defisit 4.7 peratus bagi tahun 2012 berbanding 5.4 peratus bagi tahun 2011 yang merupakan unjuran yang sangat optimistik berbanding situasi suku ketiga 2011 yang ditampung oleh impak kenaikan pendapatan hasil daripada sumber komoditi dan bahan asli.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim telah memberikan prediksi dan menyuruh rakyat untuk berwaspada kerana beliau telah menjangkakan bahawa bajet Umno-BN untuk 2012 akan berupa satu suntikan morfin yang melalaikan rakyat seketika.

Jangkaan beliau tepat, apabila Umno BN membentangkan satu bajet yang kelihatan mengutamakan rakyat dalam langkah mendapatkan kembali sokongan rakyat untuk menghadapi PRU13 yang dijangka tidak lama lagi.

“Seperti yang dijangka, BN telah membentangkan satu bajet morfin yang bersifat kesenangan sementara. Kesakitan dan keperitan sebenar akan kembali sejurus selepas kesan morfin hilang.

Dari sudut yang lain, rakyat perlu melihat pembentangan bajet oleh PM ini juga adalah sebahagian daripada kejayaan mereka mengenakan tekanan kepada kerajaan BN dalam PRU lalu.

Kini, Umno BN cuba mendapatkan kembali sokongan rakyat melalui bajet yang kelihatan mengutamakan rakyat; setelah mengabaikan rakyat dengan mementingkan projek mega bagi kroni-kroni berpuluh tahun,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan.

Walaupun bajet ini kelihatan mengutamakan rakyat, Tuan Ibrahim menasihatkan rakyat agar terus mengenakan tekanan politik kepada BN.

“...kerana seandainya mereka berjaya mengekalkan kuasa selepas PRU13, segala berita gembira yang ditabur dalam belanjawan akan ditarik balik dalam bentuk cukai GST yang telah diumumkan dan bakal dilaksanakan tatkala majoriti rakyat masih tidak bersedia untuk menghadapinya,” terang beliau.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menjangkakan keadaan kali ini akan lebih teruk daripada dahulu kerana bajet Umno-BN kali ini tidak disertakan dengan langkah-langkah kerajaan untuk menaikkan pendapatannya untuk menampung perbelanjaan sebegitu banyak.

“Lebih-lebih lagi, dalam bajet kali ini PM juga tidak mengumumkan apa-apa cara untuk mengurangkan ketirisan, gejala rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan kronisme yang selama ini hanya menambah keperitan rakyat bawahan.

Berapakah bajet susulan yang sudah ada dalam perancangan BN yang bakal dibentangkan lagi untuk menampung perbelanjaan morfin ini?” soal beliau.

Apa yang pasti, kata Tuan Ibrahim ialah sistem percukaian baru GST akan diperkenalkan – kemudian kemungkinan besar beban 6 peratus cukai telefon prabayar akan ditolak ke bahu rakyat selepas PRU13 dan lebih banyak subsidi akan ditarik balik sekiranya BN kekal berkuasa selepas PRU13.

Selain itu, kata Tuan Ibrahim, Najib kali ini bertindak untuk tidak mengumumkan apa-apa peruntukan untuk Permata yang diketuai isteri kesayangannya Rosmah Mansor semata-mata untuk mengelakkan kemarahan rakyat menjelang PRU-13.

“Akan tetapi, rakyat tidak perlu bergembira, yang pasti sekiranya mereka menang PRU13, peruntukan untuk Permata akan diumumkan semula dengan nilai yang lebih besar di dalam bajet susulan,” hujah beliau.

Tegasnya, segala apa yang diberi sekarang yang kononnya atas nama ‘negara berkebajikan ala Umno BN’ hanya bertujuan untuk melalaikan rakyat.

“Apa yang diberi akan ditelan kembali selepas PRU13 jika mereka terus berkuasa selepas PRU13, kerana suka ataupun duka, rakyat terpaksa duduk di bawah kerajaan BN untuk lima tahun lagi sebelum ada peluang untuk mengundi mereka keluar,” terang beliau.

Namun, semua langkah ‘menelan’ ini tidak akan diumum sekarang kerana yang penting rakyat dapat ditipu terlebih dahulu untuk mengekalkan mereka di tampuk pemerintahan, yang lain boleh diumum sedikit demi sedikit, kerana selepas itu, rakyat hanya boleh merungut tapi kuasa mereka tidak akan tergugat untuk 5 tahun akan datang, tambah Tuan Ibrahim lagi.

“Pengalaman lampau mengajar kita bagaimana setelah selesai PRU kerajaan BN akan segera mengisytiharkan kenaikan harga barangan keperluan rakyat. Walau apapun tema belanjawan diberi, rakyat yang telah mengenal tipu muslihat Umno/BN diharap jangan terlalai dalam suntikan morfin ini dan terus menggunakan kuasa dan peluang yang ada pada PRU13 bagi membuat perubahan untuk menyelamatkan Malaysia,” seru beliau.- Harakah Daily

Tiada ulasan: