Ahad, 23 Oktober 2011

Bersih teruskan momentum tuntutan, kempen di luar negara dipertingkat


KUALA LUMPUR — Bersih 2.0 menggerakkan perjuangan menuntut pembaharuan pilihan raya apabila pengerusinya Datuk Ambiga Sreenevasan mengunjungi empat universiti pengajian undang-undang terkenal di Australia minggu depan bagi mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar Malaysia bagi mengutarakan pelbagai isu berkaitan sistem pilihan raya negara ini.

The Malaysian Insider difahamkan beliau akan menyampaikan syarahan awam yang diaturkan oleh Asian Law Centre di Universiti Melbourne dan disusuli dengan kehadirannya di Universiti New South Wales dan Universiti Sydney (pada 31 Oktober) dan Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Australia di Canberra pada 1 November.

Difahamkan majlis di keempat-empat universiti berkenaan akan membolehkan rakyat Malaysia di luar negara yang masih belum mendaftar sebagai pengundi berbuat demikian.

Penyelaras kebangsaan bagi Bersih 2.0 Australia dan Saya Anak Bangsa Malaysia Australia (SABMoz) berkata, kempen untuk mendaftar rakyat Malaysia sebagai pengundi mendapat sambutan di Australia.

“(Kempen) Bersih 2.0 dan detik hodoh yang berlaku di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu telah memberi dorongan kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara,” kata beliau.

“Beratus-ratus rakyat Malaysia berhimpun di tujuh bandar di Australia dengan lebih 700 di Melbourne dan 400 di Sydney bagi memberi sokongan kepada Bersih 2.0,” kata Teoh (gambar) lagi.

Kemunculan Ambiga di Australia minggu depan dijangka memberi tekanan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang akan berada di Perth sempena Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Negara Komanwel (Chogm) pada 28 Oktober.

“Kunjungan oleh Ambiga akan memberi mesej kepada kerajaan Australia dan rakyatnya bahawa jiran serantau yang dekat dan rakan perdagangannya menggunakan satu sistem yang dengan sengaja menafikan hak ratusan rakyat Malaysia untuk mengundi dari luar negara,” kata Teoh kepada The Malaysian Insider menerusi e-mel.

Katanya, tujuan utama majlis minggu depan ialah mengingatkan kerajaan Malaysia tentang keperluan melaksanakan pembaharuan pilihan raya sebelum pilihan raya umum ke-13.

Perhimpunan menyokong Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu turut diadakan di beberapa negara termasuk di Australia, New Zealand, England dan Amerika Syarikat.

Bersih 2.0 yang mengemukakan lapan tuntutan pilihan raya mendakwa perhimpunannya di ibu negara disertai kira-kira 50,000 orang tetapi polis mendakwa ia hanya dihadiri sekitar 6,000 orang.

Hampir 1,700 orang ditahan oleh polis pada hari berkenaan.

Pada bulan berikutnya pentadbiran Najib mengumumkan pembentukan jawatankuasan pilihan khas Parlimen, dianggotai sembilan wakil, untuk mengkaji pembaharuan pilihan raya.

Tiada ulasan: