Sabtu, 8 Oktober 2011

Bersih: Anggota taraf koperal langgar SOP, polis masih kumpul bukti

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Polis memberi jaminan akan mengambil tindakan disiplin ke atas anggotanya – seorang yang berpangkat koperal – jika didapati bersalah melanggar garis panduan operasi (SOP) semasa meleraikan perhimpunan Bersih 2.0 di kawasan Hospital Tung Shin pada 9 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata, anggota yang telah dikenal pasti itu berpangkat koperal.

Namun beliau berkata pihaknya masih mengumpulkan bukti bagi menyiasat kesahihan dakwaan bahawa anggota berkenaan bertindak di luar garis panduan operasi polis (SOP) semasa melaksanakan tugas.

“Kita akan ambil tindakan disiplin dan tatatertib di peringkat IPK (ibu pejabat polis Kuala Lumpur) jika siasatan mendapati perkara itu benar,” kata beliau selepas merasmikan Program Cegah Jenayah Bersama Polis KL dan Yayasan Cegah Jenayah di Institut Latihan Perindustrian di sini hari ini.

Dipetik Bernama Online, Mohmad berkata, setiap anggota polis yang didapati melanggar peraturan SOP semasa melaksanakan tugas perlu diberikan ruang dan peluang untuk membela diri sebelum sebarang tindakan disiplin atau undang-undang diambil ke atas mereka.

“Buat masa ini anggota itu masih lagi bertugas dan kita telah beri dia peluang untuk bela diri serta minta dia berikan alasan atas dakwaan itu dan mengapa dia berbuat demikian (sekiranya perkara itu berlaku)... setakat ini, kita belum terima apa-apa maklum balas daripada anggota berkenaan,” katanya.

Kenyataan Kementerian Dalam Negeri Selasa lalu menyebut siasatan Kementerian Kesihatan mengesahkan polis telah melanggar SOP dan bertindak secara tidak beretika ketika hendak meleraikan perhimpunan Bersih 2.0 di kawasan Hospital Tung Shin.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam berkata anggota polis yang didapati bersalah akan dirujuk kepada lembaga disiplin Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mahmood berkata, Kementerian Dalam Negeri mengambil maklum hasil laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Siasatan Dalaman Peringkat Tertinggi, Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai insiden gas pemedih mata dan meriam air ditembak ke dalam kawasan Hospital Tung Shin.

“Keputusan siasatan mendapati bahawa memang wujud tindakan tidak beretika dan di luar daripada garis panduan operasi polis oleh kakitangan PDRM ketika tindakan penguatkuasaan dilakukan dalam menangani ahli perhimpunan yang secara salah mempergunakan premis hospital tersebut,” kata beliau.

Mahmood menambah, laporan itu antara lain menyebut bahawa berlaku semburan air oleh anggota PDRM ke arah penunjuk perasaan yang sedang berkumpul di tempat parkir kenderaan bertingkat dan pintu masuk utama hospital itu.

“Bagaimanapun, tindakan ini adalah semata-mata bertujuan untuk menyuraikan kelompok penunjuk perasaan yang sedang berkumpul di dalam kawasan hospital,” kata beliau lagi.

Mahmood juga berkata laporan itu menunjukan bahawa berlaku tembakan gas pemedih mata dari arah premis Waz Lian oleh anggota PDRM ke arah penunjuk perasaan yang sedang berkumpul di tempat letak kereta awam yang terletak di luar kawasan hospital, dan bagaimanapun, dakwaan yang menyatakan berlakunya tembakan gas pemedih mata ke dalam kawasan hospital adalah tidak benar kerana ia berlaku di tempat letak kereta awam yang terletak di luar kawasan hospital berkenaan.

“Berlaku lontaran ‘bom asap’ oleh anggota PDRM ke arah penunjuk perasaan yang sedang berkumpul di tempat parkir kenderaan Hospital Bersalin Cina,” kata beliau.

Berhubung insiden lontaran bom asap, kata Mahmood, hasil siasatan mendapati ia bukan berlaku dalam kawasan Hospital Tung Shin tetapi di kawasan Hospital Bersalin Cina di mana dari segi pentadbirannya, adalah berasingan daripada Hospital Bersalin Cina.

“Pihak Hospital Bersalin Cina sebenarnya telah memberhentikan operasinya semenjak September 2006 kerana akan dibuat pengubahsuaian secara makro atau menyeluruh terhadap keseluruhan premisnya yang akan bermula pada bulan Disember 2011,” katanya lagi.

Tiada ulasan: