Selasa, 11 Oktober 2011

Bayar melalui cukai jika termakan gula Belanjawan

Anwar Ibrahim


BAB 3: PENJENAMAAN SEMULA PROJEK DAN DASAR GAGAL

Telah pun saya tegaskan program-program yang diumumkan oleh Perdana Menteri merupakan ulangan program-program yang telah dibentangkan dalam Rancangan Malaysia atau belanjawan, akan tetapi tidak berjaya membawa sebarang hasil ataupun gagal dilaksanakan.

Sedangkan wang rakyat berbilion-bilion ringgit dibelanjakan untuk membiayai program-program yang gagal mencapai matlamat itu. Kini, sekali lagi rakyat berdepan dengan beban kewangan untuk melaksanakan program-program yang gagal ini.

Tiga contoh terbaik yang boleh saya huraikan, pertamanya, pengumuman-pengumuman yang melibatkan usaha menjamin kelangsungan bekalan makanan dengan memajukan sektor pertanian. Kedua, naiktaraf infrastruktur dan jaringan bekalan air dan elektrik luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak dan ketiga, pengumuman yang menyentuh usaha mewujudkan rumah mampu milik kepada rakyat.

Kerajaan Barisan Nasional telah berjanji untuk mengekang impot makanan dan menjamin food sovereignty (kedaulatan negara melalui bekalan makanan yang terjamin) sejak 10 tahun yang lepas. Selain menjadi teras utama RMK8, kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM11.4 bilion sepanjang RMK9 untuk mencapai hasrat ini selain dari meletakkan pengurangan sasaran impot makanan kepada RM14.3 bilion sahaja menjelang akhir 2010.

Izinkan saya untuk memberikan beberapa contoh kegagalan tersebut: Projek ternakan feedlot yang menelan belanja sekitar RM250 juta yang membabitkan suami dan anak seorang menteri di dalam kabinet Perdana Menteri. Soalan ini yang saya bangkitkan sejak tahun lepas tidak pernah dijawab oleh Perdana Menteri mahupun menteri yang bertanggungjawab. Peruntukan sedemikian rupa jumlahnya sama dengan potongan subsidi gula yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

Selain itu apakah nasib Terminal Agrobisnes Nasional yang tidak digunapakai dan kini menjadi projek gajah putih? Puluhan jutaan ringgit dibelanjakan tetapi objektif penggunaannya tidak pernah tercapai, kini dijenamakan kembali oleh Perdana Menteri di dalam belanjawan terkini beliau.

Manakala kegagalan tersebut belumpun dijawab, tiba-tiba kerajaan berhasrat melancarkan satu lagi dasar iaitu Dasar Agro Makanan Kebangsaan, kononnya untuk merangka hala tuju industri makanan dan menjamin bekalan makanan. Bukankah semuanya sudah pun diputuskan dalam RMK8 hingga RMK10 dan dasar-dasar yang lain. Saya harus mengingatkan dewan bahawa yang tergelincir bukannya dasar tetapi matlamat akibat penyelewengan, rasuah dan tiadanya tata kelola yang baik.

Belanjawan 2012 mengulangi kembali janji-janji dalam belanjawan yang lepas, RMK8 hinggalah RMK9; cuma kini dijenamakan semula. Kalau dulu dipanggil TEMAN (Terminal Agrobisnes Nasional), kini mahu dijenamakan pula sebagai Pusat Transformasi Desa. Kalau dulu tabungnya dipanggil Tabung Jaminan Makanan, kini tabung kononnya turut melibatkan Dana Pengkomersilan Pertanian.

Walaupun berpuluh bilion telah dibelanjakan sejak tahun 2000 untuk mengurangkan import makanan, ia terus melonjak akibat kegagalan dasar dan projek yang lebih bermotifkan penyelewengan wang rakyat, bukannya demi kepentingan negara.

Bank Negara Malaysia di dalam perangkaan perdagangan luar negeri Disember 2010 menyatakan bahawa import makanan telah mencecah RM30 bilion.

Statistik ini turut disokong oleh jawapan kepada pertanyaan di dalam dewan, bahawa import makanan telah meningkat dari RM17.7 bilion dalam tahun 2005 kepada RM26.7 bilion dalam tahun 2009 pada kadar pertumbuhan 10.2% setiap tahun, membuktikan kegagalan 10 tahun berturut-turut dasar dan pelaksanaan program di bawah UMNO-Barisan Nasional yang kini dijelmakan kembali oleh Perdana Menteri di dalam Belanjawan 2012.

Tan Sri Yang diPertua,

Kita sudah bertukar tiga Perdana Menteri tetapi kita masih bercakap perkara yang sama. Kemahiran yang mereka ada hanyalah menjelmakan dan menjenama semula dasar lama yang gagal. Barangkali ini semua merupakan nasihat perunding asing yang mahal-mahal belaka.

Begitu juga dengan soal membangunkan prasarana desa dan di Sabah serta Sarawak.

Misalnya baru-baru ini Perdana Menteri mengakui bahawa prasarana perbekalan air di kawasan-kawasan FELDA sudah berusia 50 tahun dan sangat daif. Maknanya selepas beratus-ratus dasar digarap, pelbagai janji ditaburkan kepada warga FELDA, hakikatnya masyarakat FELDA belum mempunyai system perbekalan air yang sempurna. Masalah ini turut berlaku di Sabah dan Sarawak.

Dalam Belanjawan 2012, Perdana Menteri mengumumkan seolah-olah perkara-perkara ini adalah keprihatinan baru demi membantu rakyat, sedangkan sewajarnya adalah untuk memohon ampun dan maaf kepada rakyat kerana terlewat 50 tahun menjaga keperluan asas mereka.

Nasib yang sama juga menimpa projek menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat. Barisan Nasional gagal menyediakan perumahan mampu milik sedangkan pelbagai agensi telah dipertanggungjawabkan selama ini. Berbilion ringgit wang rakyat telah diperuntukkan saban tahun dan disalurkan kepada kontraktor dan syarikat yang rapat dengan UMNO/Barisan Nasional, tetapi memiliki rumah mampu milik seolah-olah mimpi ngeri buat rakyat Malaysia.

Syarikat Perumahan Negara Berhad ditubuhkan sebagai agensi kerajaan membantu menyediakan perumahan rakyat. Kini, Perdana Menteri menubuhkan pula agensi baru yang dikenal sebagai PR1MA kononnya sebagai agensi tunggal untuk membangunkan rumah-rumah mampu milik di tanah-tanah nilai perdana kerajaan seperti Sungai Buloh, Sungai Besi dan kawasan-kawasan sekitar MRT/LRT.

Pengumuman ini memunculkan dua keraguan. Pertama, bukankah fungsi itu bertindih dan serupa dengan SPNB? Kenapa perlu ditubuhkan agensi baru yang akan menelan belanja pentadbiran yang baru untuk menjalankan tugas yang sama? Kedua, kenapa PR1MA diberikan tugasan lumayan membangunkan rumah mampu milik di tanah milik kerajaan yang paling bernilai? Apakah PR1MA juga akan menjadi pemaju tidak ubah seperti SPNB, seterusnya melibatkan peruntukan ratusan juta dari wang rakyat dan kerjasama swasta?

Oleh itu, Dewan wajar menegur Perdana Menteri dan seluruh kabinetnya yang giat menubuhkan unit-unit baru dan pelbagai inisiatif pengiklanan baru seperti yang diumumkan di dalam Belanjawan 2012, kerana ini membebankan rakyat.

Izinkan saya menarik perhatian Dewan yang Mulia ini kepada pengumuman menubuhkan Yayasan Inovasi Malaysia. Yayasan tersebut diwujudkan dan dibarisi oleh golongan mahakaya seperti Tan Sri Lim Khok Thay, individu yang dekat dengan Perdana Menteri seperti Rohana Tan Sri Mahmood dan ahli-ahli politik Barisan Nasional untuk mengendalikan program-program invoasi kelolaan Kementerian Sains Teknologi.

Kita tertanya-tanya berapakah kos pentadbiran yayasan-yayasan seperti YIM ini? Daripada peruntukan ratusan juta untuk program-program promosi ini, berapa yang diberikan kepada YIM untuk menganjurkan beberapa seminar antarabangsa? Projek sebeginilah yang merugikan rakyat dan menelan belanja yang besar tanpa manfaat kepada rakyat.

Apa yang merisaukan beberapa pendekatan Perdana Menteri telah terbukti gagal manakala inisiatif tersebut terkait dengan kepentingan awam. Beliau mengumumkan pelbagai insentif cukai yang lumayan kepada golongan niagawan terutamanya bagi projek-projek kesayangan dan berkepentingan kepada beliau seperti Kuala Lumpur International Financial District (Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur)

Belanjawan 2012 menjanjikan pelepasan cukai kepada pemaju hartanah di KLIFD sebanyak 70% bagi tempoh lima tahun. Kita boleh mencongak berapa jumlah cukai yang akan dilepaskan begitu sahaja kepada kroni-kroni yang mengusahakan projek mewah ini.

Pengumuman awal menyebut keseluruhan projek hartanah itu bakal menelan belanja RM26 bilion. Kalau kadar keuntungan kasarnya adalah sekitar 20% iaitu kadar biasa projek-projek hartanah mewah, maka keuntungan kasar yang sepatutnya dikenakan cukai adalah RM5.2 bilion. Pada kadar cukai korporat 25%, ini bermakna sebanyak RM1.3 bilion wang rakyat akan bolos ke tangan kroni.

Tidak cukupkan tanah Sungai Besi yang paling berharga milik rakyat itu diserahkan kepada 1MDB yang dikawal oleh individu yang rapat dengan Perdana Menteri? Siapa yang sering dikaitkan dengan pembangunan KLIFD ini kalau bukan Jo Thaek Low. Kalau dikaji projek mega KLIFD ini, ternyata ia tidak memanfaatkan rakyat terbanyak dan memberi keuntungan yang lebih kepada:

Perunding
- luar negara atau yang dekat dengan pemerintah, termasuklah CIMB yang selalu terbabit di dalam urusan-urusan besar kewangan negara
Pembinaan - pastinya dianugerahkan kepada mereka yang dekat dengan pemerintah.
Bekalan - sebahagian besar peralatan dan bahan akan diimport dari luar negara seperti kebiasaan pembinaan mercu tanda megah di bawah Umno-Barisan Nasional atau dianugerahkan kepada syarikat kroni
Tenaga pembinaan - rata-ratanya akan menggunapakai buruh asing
Tenaga kerja di KLIFD kelak - sebahagian besar terdiri dari juru analisa kewangan antarabangsa dan hanya sedikit rakyat Malaysia yang berpeluang bekerja di situ

Oleh yang demikian, Pakatan Rakyat mengesyorkan kepada Dewan supaya Perdana Menteri memberi jaminan-jaminan berikut:

  • Hentikan insentif berlebihan yang menyebabkan kutipan cukai berkurangan termasuk insentif kepada KLIFD, sebelum kerajaan berniat melaksanakan GST;

  • Perdana Menteri perlu umumkan kepada rakyat dan dewan bila GST akan dilaksanakan supaya rakyat dapat mengundi berdasarkan rancangan pelaksanaan GST pada PRU13; Dan
  • Dewan perlu menghentikan sikap jelik yang menghina rakyat; menyalahkan bayaran subsidi semata-mata, sedangkan insentif-insentif yang melampau turut melibatkan banyak ketirisan kepada wang negara dan pendapatan yang berkurangan

Sekiranya diberi peluang untuk mentadbir negara, Pakatan Rakyat beriltizam memastikan mana-mana perjanjian atau insentif yang tidak telus dan membelakangkan kepentingan rakyat akan dirujuk kepada Suruhanjaya Perjanjian Awam, yang akan ditubuhkan demi untuk menilai semula segala perjanjian ini.

BAB 4: KRONI DIDAHULUKAN, PROJEK DIUTAMAKAN

Tan Sri Yang diPertua

Belanjawan 2012 menzahirkan ketagihan BN kepada rasuah dan penyelewengan. Tidak ada tanda-tanda ketagihan ini akan reda, kerana pelbagai pengumuman yang dibuat jelas akan menguntungkan pihak-pihak berkepentingan semata-mata.

Saya ingin merakamkan kekesalan kepada dewan kerana cadangan penyenaraian Felda Global Ventures Holding yang merupakan mercu tanda dan harta rakyat yang sensitif langsung tidak dibahaskan terlebih dahulu di dewan ini, sebelum dipertimbangkan untuk dibawa masuk ke dalam belanjawan.

Saya bukanlah menentang sebarang usaha untuk mengembangkan saiz pasaran saham dan menarik pelabur asing ke Bursa Malaysia, tetapi persoalan yang membabitkan institusi Melayu/Bumiputra dan harta rakyat yang dibina oleh tiga generasi rakyat Malaysia ini perlukan perdebatan ikhlas dan ilmiah di dewan ini terlebih dahulu.

Perdana Menteri seharusnya mengambil kira risiko kewangan dan pasaran yang akan mendedahkan Felda kepada susut nilai pasaran mirip kepada nasib yang sedang menimpa MAS, sekiranya penyenaraian ini tidak disertakan dengan tata kelola yang baik, pengurusan yang telus dan bebas dari campur tangan politik dan diperkuatkan dengan segala langkah mengelakkan manipulasi pasaran dan spekulasi.

Harga pasaran saham MAS telah susut sehinggakan harga semasanya hanyalah sekitar 37% berbanding harganya sekitar tahun 1993 hingga 1995. Walaupun asetnya besar dan saiz operasinya berlipat kali ganda berbanding AirAsia, harga sahamnya turun naik dan sekarang ini hanyalah 50% dari harga saham AirAsia.

Kita perlu berwaspada supaya nasib yang sama tidak menimpa Felda, maka keputusan sebesar itu sewajarnya dibahaskan di dewan ini agar prasyarat berhubung kemantapan pengurusan, amalan tata kelola baik yang ketat dan nilai tambah dapat diambil kira.

Janganlah kerajaan mengulangi kesilapan dalam penggabungan tiga gergasi perladangan iaitu Sime Darby, Guthrie dan Golden Hope yang disandarkan semata-mata kepada yuran rundingan dan laba yang bakal diperolehi oleh para perantara (broker) dan penasihat termasuklah CIMB yang rapat dengan Perdana Menteri.

Perdana Menteri juga mengumumkan pembinaan projek-projek melalui kaedah perkongsian awam dan swasta (PPP) termasuklah pembinaan hospital wanita dan kanak-kanak melibatkan perbelanjaan RM700 juta.

Saya memberi ingatan supaya projek ini dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan bertata kelola termasuklah dengan memastikan ia menggunakan bidaan terbuka, supaya harganya berpatutan kerana kita faham bila sahaja dipanggil perkongsian awam dan swasta, maknanya perkongsiannya begini: untung dikaut oleh swasta, kerugian dan kos ditanggung oleh awam dan rakyat.

Saya juga kesal dengan cara Perdana Menter yang tidak segan silu mengumumkan projek-projek yang bermasalah kerana diberikan kepada krono seolah-olah ia projek baru demi kesejahteraan rakyat. Peruntukan projek pembangunan dibawah RMK10 bagi tahun 2012 berjumlah RM49.2 bilion contohnya melibatkan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Jabor-Kuala Terengganu yang tidak siap-siap dan telah pun menelan belanja yang tinggi, akibat pembabitan pihak-pihak yang berkepentingan sedangkan fasa yang dibina oleh MTD di antara Sungai Besi ke Ajil telah pun dibuka.

Akhir sekali, saya wajar menyentuh mengenai peruntukan RM40 juta untuk membina lebih banyak Kedai Rakyat 1Malaysia.

Saya tidak begitu mempersoalkan tindakan kerajaan mahu memberi bantuan melalui subsidi barangan secara terus di kedai-kedai runcit. Saya juga tidak mahu mempersoalkan cara Perdana Menteri menggunakan wang rakyat untuk terus mempromosikan jenama 1Malaysia beliau, asalkan rakyat mendapat manfaat.

Namun, kenapa hanya satu pihak dan pengusaha iaitu Mydin yang dipilih untuk mendapat bantuan subsidi terus ini, sedangkan pembinaan lebih banyak kedai sebegini akan mematikan kedai-kedai runcit rakyat terbanyak di seluruh Malaysia?

Apakah kerajaan tidak boleh mencari sebuah kedai runcit yang maju dan berdaya saing di setiap daerah yang ingin dibantu, agar bantuan tersebut akan memberi lebih manfaat kepada lebih ramai pengusaha kedai runcit, bukannya membantu melebarkan sayap pengusaha sebuah pasaraya besar yang akan mematikan pengusaha kecil di kampung-kampung? Sudahlah selama ini mereka terpaksa bersaing dengan pasaraya besar, kini kedai runcit pun mahu dibolot dan diberi bantuan terus oleh kerajaan.

Sebab itu saya memohon dewan menerima hakikat bahawa belanjawan 2012 ini tidak lebih dari senarai hadiah-hadiah kepada kroni dan golongan berkepentingan. Ratusan billion akan dibelanjakan semata-mata kerana kroni akan diterus didahulukan, projek-projek diberi keutamaan, kemudian sisa bakinya barulah diagihkan kepada rakyat.

BAB 5: ANJAKAN STRUKTUR EKONOMI

Tan Sri Yang diPertua

Dewan yang mulia seharusnya sedar pengumuman-pengumuman yang terkandung dalam Belanjawan 2012 oleh Perdana Menteri adalah gula-gula yang membebankan rakyat tetapi tidak menghasilkan sebarang anjakan perubahan kepada struktur ekonomi negara.

Pengumuman kenaikan gaji dan bonus kepada kakitangan awam adalah tidak berasaskan kepada sebarang pendekatan ekonomi, berbeza dengan pendekatan Pakatan Rakyat melalui pengenalan gaji minima yang akan memanfaatkan kesemua tenaga kerja di negara ini.

Sebab itu kerajaan tidak boleh memandang remeh kemarahan pekerja sektor swasta yang merasakan mereka diketepikan semata-mata kerana kerajaan ingin memikat undi dari penjawat awam.

Begitu juga dengan pelepasan cukai berkaitan teksi yang membabitkan jumlah maksima bantuan sebanyak RM7,560 setahun. Perdana Menteri boleh berpura-pura berbangga dengan bantuan itu, tetapi jangan lupa rintihan sebenar pemandu teksi dibebankan sejumlah RM21,000 setahun kerana bayaran kepada pemegang konsesi. Bantuan RM7,560 setahun itu pun hanyalah kepada mereka yang memilih untuk menukar kenderaan teksi, tetapi bagi sebahagian besar pemandu teksi mereka masih perlu membayar yuran yang mencekik darah kepada pemegang konsesi lesen teksi, sebahagiannya terdiri dari Yang Berhormat di dalam dewan ini.

Perdana Menteri menyenaraikan beberapa subsidi makanan yang diberikan kepada rakyat seolah-olah ia diberikan ehsan kerajaan. Janganlah kita lupa bahawa amanah mentadbir wang rakyat itu datangnya dari rakyat dan ia boleh ditarik balik bila-bila masa, seperti kerajaan sewenang-wenangnya menarik subsidi sehingga menaikkan harga barangan.

Kerajaan berbangga dengan subsidi gula 20 sen setiap kilogram yang diberikan kepada rakyat, tetapi buat-buat lupa bahawa kerajaan jugalah yang menaikkan harga gula sehinga ia 60% lebih mahal sekarang berbanding sebelum Perdana Menteri mengambil alih kuasa.

Perdana Menteri nampaknya cukup berbangga dengan bayaran-bayaran yang diumumkan seperti bantuan persekolahan, bonus kepada bekas perajurit dan lain-lain. Saya nasihatkan supaya Perdana Menteri jangan senyum terlalu lama kerana rakyat tahu bahawa bayaran itu hanyalah bayaran sekali sahaja dalam tahun 2012 yang tidak berkekalan dan berbentuk gula-gula. Jika mereka termakan gula-gula tersebut, selepas pilihanraya kelak rakyat terpaksa memulangkan kembali bayaran-bayaran tersebut melalui cukai barangan dan perkhidmatan yang akan diperkenalkan oleh Perdana Menteri.

Namun saya yakin rakyat boleh menilai perkara-perkara ini, kerana mereka juga sedar bahawa bayaran yang besar diberikan kepada golongan yang rapat dengan UMNO/Barisan Nasional termasuk bayaran sejumlah RM3,000 kepada bekas petugas KEMAS dan JASA yang lebih tinggi daripada bentuk-bentuk bantuan lain.

Tan Sri Yang diPertua,

Belanjawan yang bertanggungjawab mesti menetapkan dasar-dasar yang akan mengubah struktur ekonomi dan membolehkan anjakan, bukannya pengumuman pemberian hadiah satu tahun sahaja.

Perbandingan dengan Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 akan menunjukkan bagaimana belanjawan kami menumpukan usaha kembali kepada kerangka dasar serta berusaha menyelesaikan masalah asas:

  • Pengenalan gaji minima untuk melonjakkan paras gaji pekerja seterusnya membantu rakyat berhadapan dengan tekanan kos sara hidup
  • Menghapuskan monopoli dan merombak struktur harga barang-barang komoditi dan kepenggunaan (termasuklah monopoli BERNAS, AP dan lain-lain) untuk menghapuskan herotan harga dan menurunkan harga secara drastik
  • Memperuntukkan subsidi secara berpatutan kepada rakyat dengan mengalihkan peruntukan yang digunapakai oleh sektor korporat dan monopoli sebelum ini
  • Memberi penekanan kepada latihan teknikal dan vokasional termasuk melalui universiti teknikal untuk menyediakan graduan dan tenaga kerja yang berpadanan dengan kehendak industri
  • Peruntukan RM6.9 bilion sebagai pakej bantuan terus (direct assistance package) untuk golongan sasaran
  • Agihan sumber antara pusat dan negeri yang lebih adil mengikut pindaan capitation grant


BAB 7: PENUTUP


Rakyat akan menilai janji-janji yang terkandung di dalam Belanjawan 2012 dan Perdana Menteri mempunyai masa yang suntuk sebelum keadaan ekonomi global makin tidak menentu.

Sewajarnya Perdana Menteri menunaikan janji-janji terdahulu sebelum cuba menambah janji-janji baru ini, bermula dengan janji reformasi pilihanraya dan pemansuhan ISA yang perlu disegerakan.

Saya juga mengingatkan dewan supaya kita insaf bahawa reformasi ekonomi yang berkekalan adalah mustahil tanpa iltizam untuk merubah pendekatan politik dan pentadbiran yang diamalkan pemerintah sekarang. Tidak ada reformasi ekonomi tanpa reformasi politik yang menyeluruh.

Jika Perdana Menteri gagal melaksanakan harapan dan tuntutan-tuntutan rakyat ini, nescaya segala usaha menjelmakan dan menjenamakan semula dasar dan program-program yang gagal tidak akan berjaya meredakan hasrat rakyat yang mahukan perubahan.

Dengan ingatan itu kepada diri saya dan seluruh dewan, saya sudahi dengan wassalam. (Bahagian kedua, tamat)

Bahagian pertama: Belanjawan yang tiada wibawa

*Ucapan Perbahasan Belanjawan 2012 oleh Anwar Ibrahim (gambar kanan) selaku Ketua Pembangkang Parlimen.

Tiada ulasan: