Sabtu, 8 Oktober 2011

'Bajet kurang reformasi integriti dan ketelusan'

Kuek Ser Kuang Keng

Tidak sampai sebulan yang lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan siri pembaharuan undang-undang yang menurutnya bertujuan untuk menjadikan Malaysia "demokrasi terbaik" di dunia; komitmen dan keikhlasan beliau bagaimanapun, dipersoalkan selepas membentangkan Bajet 2012 semalam.

"Kita tidak nampak penekanan terhadap penambahbaikan selanjutnya terhadap integriti pengurusan kewangan kerajaan," kata Presiden Transparency International Malaysia Chapter (TI-M), Datuk Paul Low.

Menurutnya, bajet tersebut gagal untuk menangani isu ketelusan dalam perbelanjaan pertahanan yang dituntut oleh TI-M.

"Alangkah baiknya jika perolehan peralatan pertahanan boleh lebih telus," katanya ketika dihubungi semalam.

Low juga berkata, ia juga tidak menyentuh tentang bagaimana untuk menangani aliran haram keluar dana dari negara ini.

Menurut badan pemantau kewangan yang berpangkalan di AS - Global FInancial Integriti (GFI) - aliran haram dana dari Malaysia pada tahun 2000 ialah RM67.7 bilion, dan lapan tahun kemudian mencecah sehingga RM208 bilion.

Satu lagi kekurangan bajet tersebut, kata Low, ialah ketiadaan pindaan kepada Akta Rahsia Rasmi.

"Ia perlu dipinda untuk membolehkan lebih akauntabiliti, terutamanya bagi projek-projek yang diswastakan dan diberi konsesi."

Beliau juga kecewa bahawa isu reformasi dana politik - satu lagi perkara yang dilobi oleh TI-M - tidak termasuk dalam bajet tersebut.

Tiada ulasan: