Isnin, 31 Oktober 2011

AWER: 30 hari lagi untuk muktamadkan rundingan semula PPA

AWER


Rundingan semula PPA masih berlarutan tanpa kesudahan disebabkan jalan buntu di antara permintaan kerajaan, Penjana Bebas (IPP) dan Tenaga Nasional Berhad. Adakah penyelesaian berpaksikan rakyat (people centric) dapat dimeterai seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri? Adakah IPP akan terus mencabar janji Perdana Menteri?

Dalam sektor tenaga elektrik, kerajaan dan perunding yang dilantik terlalu risau bagaimana peniaga (IPP) akan terjejas disebabkan rundingan semula. Sebenarnya, IPP generasi pertama telahpun mendapat balik pulangan pelaburan mereka pada kadar kurang daripada 10 tahun. Sekarang, kerajaan dan perunding yang dilantik sepatutnya lebih risau tentang jumlah pelaburan lain yang kita akan hilang jika IPP masih dilindungi dan kadar tarif masa depan kekal tidak kompetitif. Seorang peniaga tahu bagaimana untuk berniaga; rundingan semula adalah sebahagian daripada perniagaan. Ia menjadikan peniaga kompeten dan beretika.

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) juga telah mencadangkan model rundingan semula yang lebih munasabah di laporan kami yang bertajuk "Perjuangan- Masa Depan Industri Elektrik Negara" yang telah dilanjutkan kepada agensi-agensi berkaitan untuk tindakan mereka pada bulan Jun tahun ini.

AWER juga ingin memberikan contoh rundingan semula untuk industri perkhidmatan air di Johor. Dengan pelaksanaan Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006, rundingan semula dilaksanakan dengan cepat dan mengelakkan kenaikan tarif yang tinggi. Ini telah dicapai pada tahun 2009. Ini adalah rundingan semula yang dilaksanakan dalam masa satu tahun dan tiada apa-apa rungutan mengenainya!

AWER berdiri teguh dengan tarikh luput yang telah kami cadangkan kepada perunding PPA bagi proses rundingan semula PPA. 30 November 2011 sepatutnya adalah tarikh terakhir proses rundingan semula. Jika tiada keputusan yang konkrit dan berpaksikan kepada rakyat dicapai melalui rundingan semula PPA, kami menyeru Suruhanjaya Tenaga untuk memulakan bidaan terbuka bagi loji janakuasa yang baru mulai 1 Disember 2011. Rakyat tentu tidak mahu mendengar alasan-alasan seperti tidak cukup masa pembinaan atau proses bidaan yang dikompromi atau keputusan-keputusan yang tidak berpaksikan Rakyat selepas ini.

Ketelusan dalam penetapan tarif dan memecahkan struktur pengebilan adalah penting. Ini adalah proses yang mudah untuk dilaksanakan kerana ia hanya melibatkan pengurusan pangkalan data (database management). Pemecahan kos elektrik telahpun dilaksanakan oleh negara jiran kita seperti Filipina dan Thailand. Kami tidak faham mengapa terdapat keengganan yang tinggi oleh sesetengah pihak untuk melaksanakan perkara ini. Kami menyeru Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) untuk melaksanakan Incentive Based Regulation (IBR) dengan pindaan yang kami cadangkan (untuk mengawalselia sektor penjanaan) dengan kadar segera. IBR dirangka untuk memastikan kecekapan dalam perkhidmatan dan penetapan tarif yang saksama, sama seperti penstrukturan semula industri perkhidmatan air.

Di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), Suruhanjaya Tenaga telah diberikan kuasa luas untuk mengawal selia industri tenaga elektrik. Seksyen 4 akta ini yang mentakrifkan fungsi-fungsi Suruhanjaya Tenaga telah memberikan penerangan jelas mengenai mandat ini melalui subseksyen (b), (c), (d),(l), (la) and (m). Maka, kami menyeru Menteri KeTTHA untuk memastikan Suruhanjaya Tenaga melaksanakan fungsi-fungsi yang sepatutnya supaya dapat melindungi kepentingan setiap lapisan pengguna.

*Kenyataan media oleh Piarapakaran S. (gambar kanan) selaku Presiden PersatuanPenyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).

Tiada ulasan: