Isnin, 31 Oktober 2011

Audit: Kalau negara lain, sudah lama BN dihukum

Khairil Abdul Rahim


TEMERLOH: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail berkata, jika di negara lain, kerajaan BN yang ada sudah lama dihukum oleh rakyat berikutan perbelanjaan boros dan tidak berhemat menguruskan wang negara.

Tambah Ahli Parlimen Machang itu, malangnya di negara ini rakyat seolah-olah tidak prihatin menyebabkan penyelewengan dan ketirisan makin menjadi-jadi walaupun setiap tahun ditegur oleh Ketua Audit Negara.

“Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2010 yang baru kami ahli-ahli parlimen terima minggu lalu mendedahkan pelbagai kepincangan pengurusan dalam agensi kerajaan.

“Sebagai contoh Giat Mara membeli gula 150 kilogram dengan wang sebanyak RM25,000, ini bermakna gula yang berharga RM2.30 menjadi RM170 sekilo. Teropong untuk tentera laut yang berharga sekitar RM3,000, mereka beli RM56,000.

“Dilaporkan, terdapat komputer bernilai RM160 juta rosak dimakan anai-anai. Manakala ada projek pelihara lembu dengan dana kerajaan RM250 juta milik suami seorang menteri, rugi dengan hanya sembelih 20 ekor sehari,” katanya semasa berceramah di Tapak Kompleks PAS Pahang, Kerdau di sini kelmarin.

Turut berceramah ialah Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan bloger Hishamuddin Rais.

Saifuddin berkata, kini penyelewengan dan ketirisan makin menjadi-jadi dan menurut buku laporan tersebut terdapat 9 kementerian yang terlebih belanja antaranya Kementerian Pelajaran, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertanian dan SPRM.

“Kalau di negara lain BN dah lama dihukum oleh rakyat. Untungnya BN rakyat negara ini tidak kisah sangat walaupun kehidupan mereka terpaksa bergelut dengan kepayahan setiap hari akibat menghadapi kenaikan melambung harga barang.

“Sementara Pakatan Rakyat dalam bajetnya mengunjurkan kerajaan supaya jimat perbelanjaan, tingkat pendapatan melalui kutipan hasil,” katanya.

Tambahnya di Pahang, terdapat juga perbelanjaan yang mencurigakan antaranya kos memasukkan bekalan elektrik ke sebuah rumah di sebuah kampung di Indera Mahkota sehingga RM770 ribu di bawah projek luar bandar.

Di Bera pula di bawah projek yang sama, terdapat lima buah rumah tanpa penghuni memakan kos RM65,000 dan turut mendapat teguran Bandar Baru Lipis yang terbengkalai selama 15 tahun.

“Tidak wajar menyalahkan jabatan kerajaan saja kerana pemimpin tertinggi kerajaan juga yang menunjukkan gaya hidup yang mewah. Contohnya kos selenggara kediaman Perdana Menteri berjumlah RM844,000 sebulan dan bil air mereka menjangkau RM1.9 juta setahun.

“Kami diberitahu di parlimen, sepanjang menjadi PM, perbelanjaan Najib dan Rosmah sudah berjumlah RM17 juta,” jelasnya.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, tiap-tiap tahun audit membuat terguran perkara yang sama berkaitan pembaziran dan penyalahgunaan kuasa tetapi kesalahan yang sama tetap berulang.

Oleh itu jalan yang terbaik ialah rakyat menukar kerajaan pada pilihan raya akan datang.

Tiada ulasan: