Ahad, 16 Oktober 2011

100, 000 orang dapat faedah skim SPKP Selangor

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, setakat ini 300 permohonan diluluskan.



PETALING JAYA: Lebih 100, 000 rakyat Selangor akan menerima manfaat di bawah Skim Pemilikan Kediaman Persendirian (SPKP) yang membolehkan mereka memiliki kediaman dengan bayaran premium serendah RM1,000.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, setakat ini 300 permohonan diluluskan.

Mengenai nilai tanah di sekitar Petaling Jaya, beliau mengaku mempunyai nilai yang tinggi sehingga memberi bebanan kepada rakyat untuk membayarnya.

Menerusi skim ini rakyat berpeluang membayar hanya RM1,000 dengan pemilikan tanah sehingga 99 tahun.

“Nilai tanah di Petaling tinggi. Jika ada 10, 000 kaki persegi dengan harga RM100 nilainya hampir RM1 juta. Rakyat perlu bayar satu perempat daripada harga itu iaitu RM25,000.

“Namun dengan skim ini tak perlu bayar RM25,000 tapi bayar premium RM1,000 sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Khas Mesra Rakyat (PKMR) Daerah Petaling serta melancarkan logo Selangorku di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.

Kediaman persendirian

Beliau turut menyerahkan sijil pemilikan tanah kepada 70 orang penduduk Petaling Jaya.

Program turut dihadir Exco negeri Selangor, Datuk Bandar MBPJ Datuk Mohamad Roslan Sakiman dan Pegawai Daerah Petaling Jaya Datuk Zulkepli Ahmad.

SPKP mula diperkenalkan Jun lalu adalah hasil kajian bersama Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Daerah, dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang dijangka dapat melengkapkan Skim Pemberian Geran yang bermula sejak tahun lepas.

Skim ini hanya ditawarkan kepada satu pegangan hak milik kediaman persendirian sahaja dan tidak boleh untuk hartanah komersil.

Menurut Abdul Khalid, walaupun wujud pertindihan kuasa antara Pejabat Tanah dan MBPJ sehingga menyebabkan kelulusan tanah lewat, namun dengan sistem ‘open file’ mampu menyelaraskan kerja-kerja tersebut.

“Masalah tanah ada hubungan rapat kerana banyak pertindahan. Pejabat Tanah hanya fokus kepada tanah,manakala Majlis Perbandaran pula untuk pembangunan. Kami dapati wujud kelewatan kerana tiada kesefahaman untuk kelulusan. Oleh itu dengan sistem open file akan membantu menyelesaikannya,” katanya.

Tiada ulasan: