Selasa, 27 September 2011

Zakat: Gabungan NGO gesa Majlis Agama Islam kurangkan birokrasi


KUALA LUMPUR — Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (Accin) menggesa agar Majlis Agama Islam Negeri mengurangkan birokrasi dalam pemberian bantuan zakat kepada para asnaf bagi mengelakkan mereka dieksploitasi oleh golongan lain.

Setiausaha Accin Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, perkara itu salah satu daripada 10 cadangan dikemukakan untuk pertimbangan resolusi Konvensyen Majlis Agama Islam Negeri-negeri yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini di ibu negara.

Katanya, Accin memberi cadangan berkaitan 10 perkara supaya diambil perhatian dalam merangka resolusi Kongres Majlis Agama Islam Negeri-negeri.

Accin tidak memberi alasan dan sebab berkaitan cadangan mengurangkan birokrasi dalam pemberian bantuan zakat kepada para asnaf tetapi ia dilihat ada kaitan dengan isu yang menjadi perhatian sejak awal bulan lalu dan dakwaan bagi golongan Muslim yang susah dan memerlukan bantuan dimurtadkan.

Selain itu, Accin juga meminta Majlis Agama Islam Negeri menekankan kepentingan untuk menilai kembali semua aspek pentadbiran syariah dan memastikan pendekatan yang adil dan seimbang terhadapnya.

Kongres itu yang julung kali dianjurkan untuk mengangkat martabat agensi itu selari dengan transformasi pembangunan negara.

Tiga kertas kerja yang menyentuh bidang pendidikan, ekonomi dan perundangan akan dibentangkan dengan matlamat untuk memperkasakan Majlis Agama Islam Negeri.

Dianggarkan seramai 1,000 peserta menyertai kongres dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Majlis Agama Islam Negeri.

Selain itu, Accin juga mahu Majlis Agama Islam Negeri menegaskan komitmen terhadap prinsip-prinsip terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan syariah sebagai panduan umum dan Piagam Majlis untuk menghadapi era globalisasi kini.

Resolusi lain ialah:

● Majlis Agama Islam Negeri-Negeri wajar menegaskan kembali komitmen tingginya, bersesuaian dengan “Cairo Declaration of Human Rights in Islam” untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia dari perspektif Islam.

● Majlis Agama Islam Negeri-Negeri wajar menyatakan keprihatinan, bersesuaian dengan “World Interfaith Harmony Week” terhadap persamaan, perbezaan dan kehidupan harmoni antara agama dan kepercayaan tanpa mengabaikan asas dan kesucian Islam serta Ahlu Sunah Waljamaah.

● Majlis Agama Islam Negeri-Negeri wajar melebarkan kerjasama untuk menghadapi cabaran ummat manusia, khasnya umat Islam tanpa mengira ras, warna kulit, bahasa, jantina, agama, mazhab, sekutu politik, status sosial atau pertimbangan lain.

● Majlis Agama Islam Negeri-Negeri wajar mengenal pasti sumbangan kepada NGO-NGO Islam, merangkumi kos bangunan, sekretariat, pengajian, kenderaan, program dan lain-lain, termasuk daripada sumber zakat.

● Majlis Agama Islam Negeri-Negeri wajar meningkatkan kerjasama dakwah dan hubungan dengan bukan Muslim dan bukan Melayu, termasuk dalam menangani Islamofobia dan religiofobia yang semakin meningkat.

● Majlis Agama Islam Negeri-Negeri perlu memberikan perlindungan kepada muallaf dan meningkatkan usaha serta proaktif untuk dakwah bukan Muslim di seluruh Malaysia, merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

● Majlis Agama Islam Negeri-Negeri diminta sentiasa membantu meningkatkan sosioekonomi ummah dan memperkasa aspek pendidikan agama kepada anak bangsa.

Tiada ulasan: