Jumaat, 30 September 2011

YDP Yadim: Muslim tentang hudud ciptaan parti gilakan kuasa


KUALA LUMPUR — Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Aziz Jamaludin Mhd Tahir berkata, masyarakat Islam hanya membantah hukum hudud ciptaan mereka yang gila kuasa memerintah, bukannya “menentang hukum hudud yang sebenar.”

“Setiap orang Islam tidak menentang hukum hudud yang sebenar, tetapi yang ditentang sekarang ialah hukum hudud ciptaan mereka yang gila kuasa untuk memerintah,” kata beliau (gambar) yang merujuk kepada usaha PAS sejak hampir dua dekad lalu.

Dalam menginterpretasikan hukum hudud, katanya, “kita sebenarnya harus memisahkan antara hukum hudud yang digariskan oleh al-Quran dan hadis, dengan hukum hudud yang digubal oleh yang mempunyai kepentingan politik semata-mata.”

Dalam perkembangan terbaru di sebalik isu kontroversi hudud yang muncul minggu lalu, PAS menegaskan, pihak yang menghalang pelaksanaan hukum hudud khususnya di Kelantan adalah Umno bukannya DAP.

PAS yang menerajui kerajaan negeri Kelantan telah menggerakkan usaha melaksanakan hudud pada 1993 - tiga tahun selepas mengambil alih pentadbiran negeri itu.

Dalam kenyataan awal pagi ini, Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS mengakui DAP mempunyai pandangan berbeza dalam soal pelaksanaan hudud dan pendirian mereka dalam tidak menyokong sistem perundangan syarak.

“Akan tetapi, ini bukanlah perkara pelik kerana mereka bukan beragama Islam dan tiada tuntutan syarak ke atas mereka,” kata beliau.

“DAP berpendapat ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana kes-kes jenayah mesti berada di bawah bidang kuasa mahkamah sivil, bukan di mahkamah syariah.

“Mereka juga berpendapat enakmen ini memerlukan pindaan Perlembagaan bagi menguatkuasakannya,” katanya.

Oleh itu kata Tuan Ibrahim, jelas yang menghalang ialah Perlembagaan Persekutuan yang dimomok Umno selama 54 tahun dan bukannya DAP.

Pesuruhjaya PAS Pahang ini juga berkata, Umno yang mengaku dirinya Islam dan telah diberi kuasa pemerintahan selama lebih 54 tahun sepatutnya mesti bersedia memikul tanggungjawab ini untuk menyediakan negara ke arah kesediaan untuk melaksanakan hukum Allah.

Kelmarin, Pakatan Rakyat mengambil pendirian tegas hukum hudud tidak akan menjadi sebahagian daripada dasar bersama perikatan itu sehingga kesemua parti komponen menzahirkan persetujuan dan konsensus.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan, Anwar, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata mesyuarat Pakatan Rakyat malam tadi memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, dasar bersama dan Buku Jingga.

Dalam tulisan di Utusan Malaysia keluaran hari ini, Aziz berkata, keadilan hukum hudud yang hendak dibawa PAS juga boleh dipertikaikan jika prosedurnya tidak adil, keterangan yang diberikan bercanggah dan penyiasatan tidak lengkap.

“Undang-undang tetap dianggap tidak adil jika cara melaksanakannya tidak dijalankan seadil-adilnya. Umpamanya dalam menjatuhkan hukuman rejam. Sebelum hukuman dijatuhkan, ia perlu diadili dengan sebaik-baiknya,” kata beliau.

Katanya, “kita menyokong niat baik mereka untuk melaksanakan hukum hudud tetapi ia perlu mengambil kira hal-hal lain yang menuju ke arah keislaman, tidak hanya menggunakan undang-undang yang dikatakan Islam sahaja.”

Aziz berkata, untuk mencapai keadilan yang diharapkan bukanlah mudah kerana ia perlu kepada pelaksanaan yang betul. “Prosedur, keterangan-keterangan serta penyiasatan semuanya mesti betul,” katanya lagi sambil menambah, “ia bukanlah sesuatu yang boleh dilihat dengan mudah.”

“Contohnya hukum hudud seperti yang pernah dikemukakan oleh kerajaan PAS Kelantan yang dikatakan tidak dapat memberi keadilan.

“Kanun Jenayah Syariah II 1993 Kelantan dikatakan tidak mencerminkan hukum syarak yang sebenar,” katanya.

Oleh itu kata beliau, dilema yang ada ialah dari segi perundangannya.

Selain Kanun Jenayah Syariah II 1993, kata beliau, Kelantan juga mempunyai Kanun Jenayah Syariah 1985 yang memperuntukkan beberapa kesalahan sama dalam undang-undang yang lama dan baru.

Keadaan itu menurut beliau, menimbulkan kekeliruan kerana kerajaan Kelantan membenarkan kedua-dua bentuk hukuman jenayah syariah terbabit kerana kedua-duanya kekal sebagai undang-undang.

“Contohnya, adakah orang yang disabitkan dengan kesalahan dalam undang-undang pertama juga boleh dihukum berdasarkan undang-undang kedua?

“Selain itu, jika terdapat undang-undang baru, adakah undang-undang yang lama akan terbatal?” kata beliau lagi.

Dari segi perundangan juga, tambah beliau, undang-undang bagi jenis-jenis kesalahan dan bentuk hududnya sudah terkandung dalam Kanun Keseksaan. “Contohnya, melakukan pembunuhan atau kesalahan dalam melakukan kecederaan. Ia menimbulkan masalah kerana hanya satu kesalahan, tetapi terdapat dua atau tiga undang-undang bagi kesalahan sama,” katanya lagi.

Menurut Aziz, keadaan itu menimbulkan kesulitan kerana mengikut undang-undang negara, mencuri merupakan satu kesalahan.

Katanya, kerajaan Kelantan turut membuat undang-undang sama bagi kesalahan mencuri.

“Kebiasaannya, hanya satu pemakaian undang-undang bagi sesebuah negara. Persoalannya, adakah seseorang yang didakwa berdasarkan hukum hudud boleh terlepas daripada Kanun Keseksaan? Persoalan inilah yang perlu dijelaskan,” katanya lagi.

Aziz menambah, keindahan dan keistimewaan undang-undang Islam akan dapat dinikmati apabila tertib keutamaan maslahah seperti memelihara keperluan asasi, memelihara kepentingan manusia dalam keperluan sampingan dan memelihara keselesaan dan keharmonian hidup, dijadikan ukuran untuk menggubal undang-undang yang bertepatan dengan roh syariah yang menegakkan keadilan.

“Dari segi ruang lingkupnya pula, maslahah terbahagi kepada tiga bahagian iaitu kepentingan awam, kepentingan orang kebanyakandan kepentingan orang perseorangan.

“Keutamaan maslahah ini harus dipelihara mengikut yang sewajarnya dalam pembinaan hukum dari semasa ke semasa,” katanya.

Aziz menambah, undang-undang yang didasarkan kepada kepentingan atau maslahah yang kebelakangan, tetapi bercanggah dengan kepentingan dan maslahah yang lebih utama bukanlah undang-undang islamik kerana tidak dapat mencapai matlamat dikehendaki oleh syariat Islam.

Tiada ulasan: