Rabu, 14 September 2011

Umno tak tuntut kemerdekaan

SINAR HARIAN ONLINE


SEREMBAN - Pas mendakwa pemimpin Umno mengeluarkan kenyataan kurang tepat berhubung perjuangan parti mereka menentang penjajah British untuk menuntut kemerdekaan.

Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd Taufek Abd Ghani berkata, dakwaan itu disokong oleh fakta yang tertera pada buku teks Sejarah Tingkatan 5, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Pada muka surat 103, ada dinyatakan faktor yang menyumbang kepada pembentukan Persekutuan Tanah Melayu.

“Umno dikatakan hanya membuat rundingan dengan British untuk menolak Malayan Union dan bukan menuntut kemerdekaan,” katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan Pas negeri di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas negeri, Anuar Azahari dan Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa.

Difahamkan, buku teks yang disusun panel empat penulis iaitu Ramlah Adam, Abdul Hakim Samuri, Shakila Parween Yacob dan Muslimin Fadzil itu masih digunakan di sekolah menengah sekitar negara ini.

Buku teks terbabit mula dicetak pada 2003 dan naskhah terbitan 2010 yang ditunjukkan pada sidang media berkenaan dibeli Mohd Taufek dari sebuah kedai buku sekitar bandar ini, beberapa hari lalu.

Menurut Mohd Taufek, fakta yang dipaparkan dalam buku teks berkenaan sukar disangkal kerana ditulis pakar sejarah, malah digunakan di semua sekolah menengah.

“Justeru, kami sarankan agar pemimpin Umno meneliti semula fakta sejarah berkaitan kemerdekaan negara agar tidak berlaku kekeliruan dalam fikiran mereka.

“Sejarah tidak boleh diubah dan fakta pula adalah sesuatu yang tepat serta perlu dipercayai. Jangan sesekali mengubah sejarah sesuka hati,” katanya.

Tiada ulasan: