Selasa, 6 September 2011

Umno padamkan sejarah kemerdekaan, dakwa PAS

Sebaliknya, Umno memasukkan nama pejuang parti itu sahaja.



PETALING JAYA: PAS mendakwa Umno telah memadamkan sejarah sebenar kemerdekaan negara dengan memasukkan nama pejuang parti itu sahaja.

Sebaliknya kata AJK PAS, Syed Azman Ahmad Nawawi tokoh pejuang lain seperti Dr Burhanuddin al-Helmi dan Ahmad Bostamam telah dipadamkan.

Kerana itu katanya, perlu dilakukan pengolahan semula sejarah dalam negara kita supaya rakyat memahami erti kemerdekaan.

“Pejuang yang menentang penjajah British seperti Dr Burhanuddin, Ahmad Bostamam dan ramai lagi pimpinan dan negarawan yang berjuang telah dipadamkan.

“Rakyat dan generasi muda dan generasi akan datang perlu tahu tentang pengorbanan mereka menghalau penjajah British yang menjajah negara kita,”katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kontroversi kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mendakwa Mat Indera sebagai wira sebenar pejuang kemerdekaan negara.

Berjuang lawan British

Mat Indera berjuang menentang penjajah British secara gerila, namun namanya tidak disebut kerana bergabung dengan parti komunis.

Kenyataan orang kuat PAS itu dikecam pelbagai pihak termasuk tokoh DAP, Karpal Singh yang mahukan Mohamad meminta maaf.

Sehubungan itu, Dr Syed Azman menegaskan, isu sebenarnya adalah persoalan tentang sejarah kemrdekaan dan tidak timbul isu mengiktiraf komunis.

Beliau menambah, bukan mengenai mengiktiraf komunis, tetapi adalah persoalan kemerdekaan di negara.

Beliau berkata, isu ini perlu dilihat secara keseluruhan, bukan dari sudut Mat Indera atau tentang peristiwa Bukit Kepong sahaja.

Tiada ulasan: