Khamis, 29 September 2011

Tiada agenda Hukum Hudud dalam Pakatan Rakyat

Ong Vic Kee


PKR dan PAS akhirnya bersetuju untuk tidak melaksanakan Hukum Hudud, setelah mengambil kira bantahan keras daripada satu lagi parti komponen Pakatan Rakyat, iaitu DAP. Perlaksanaan Hukum Hudud memerlukan persetujuan ketiga-tiga parti, malah pindaan perlembagaan, maka PAS dan PKR akhirnya bersetuju untuk menghormati pendirian DAP.

Dengan kata lain, Pakatan Rakyat gagal mencapai muafakat untuk perlaksanaan Hukum Hudud buat masa ini.

Demikianlah keputusan mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat yang mengambil masa lebih tiga jam, bermula jam 9 malam tadi di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut. Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim memberi jawapan sedemikian ketika ditanya dalam sidang media yang mengambil masa kira-kira 10 minit, bermula pada 12.20 tengah malam tadi.

Anwar berkali-kali menegaskan bahawa Pakatan Rakyat menghormati hak PAS dalam isu Hukum Hudud, namun ia perlu tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, dasar bersama Pakatan Rakyat dan Buku Jingga. Ketika ditanya sama ada PAS dilarang untuk membangkitkan isu Hukum Hudud pada masa depan, Anwar berkata Pakatan Rakyat tidak akan menafikan hak PAS untuk bersuara. Malah, Anwar berkata isu ini masih boleh dibincangkan pada masa depan.

Selain Anwar Ibrahim, pimpinan PKR yang hadir dalam mesyuarat termasuklah Wan Azizah, Azmin Ali, Nurul Izzah, Tian Chua, Saifuddin Nasution; PAS pula diwakili Hadi Awang, Mohamad Sabu, Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, Mustafa Ali; sementara DAP diwakili Lim Kit Siang, Karpal Singh, Tan Seng Giaw, Ngeh Koo Ham, Anthony Loke dan pimpinan-pimpinan yang lain.

Mursyidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat, juga Menteri Besar Kelantan, yang terlibat dalam pertikaian perlaksanaan Hukum Hudud kali ini, bagaimanapun tidak hadir dalam mesyuarat Pakatan Rakyat malam tadi. Anwar Ibrahim berkata mesyuarat menghormati pendirian Nik Aziz, malah menghubungi Nik Aziz melalui telefon berhubung hal ini. Kerajaan negeri Kelantan juga mewakilkan EXCO-nya Takiyuddin Hassan untuk menghadiri mesyuarat ini.

Yang berikut adalah kenyataan media bersama yang dibacakan:

Mesyuarat Pakatan Rakyat malam ini memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini seperti mana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Dasar Bersama dan Buku Jingga.

Pakatan Rakyat terus memperteguhkan iltizam politik bagi mempertingkatkan daya-saing ekonomi, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihata dan menangani kos kehidupan yang semakin menekan.

Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan demokratik, termasuk pendirian PAS berkenaan hukum syariah.

Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat di samping menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.

Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik terdesak UMNO-Barisan Nasional untuk memecah-belahkan kesatuan Pakatan Rakyat. Kita percaya penuh di atas kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai suasana ini.

Mesyuarat sekali lagi mempertegaskan bahawa muafakat dan objektif utama politik parti-parti komponen PR dalam Pilihan Raya Umum (PRU ke-13) ini adalah untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan oleh UMNO-BN, dengan berpandukan prinsip Keadilan Sejagat (Natural Justice), Pentadbiran yang baik (Good Governance), Kebertanggungjawaban (Accountability), Ketelusan (Transparency), Kompetensi (Competency) bagi mencapai Kemaslahatan Umum (Public Good) untuk semua rakyat.

*Ong Vic Kee ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah, disunting dan disedut dari teks asal.

Tiada ulasan: