Khamis, 29 September 2011

Terengganu masih kekalkan enakmen hudud

Bagaimanapun enakmen tersebut tidak dilaksanakan, menurut Exco Agama dan Penerangan Terengganu, Che Kazan Che Mat.


PETALING JAYA: Enakmen hudud negeri Terengganu tidak dimansuhkan oleh pentadbiran Barisan Nasional di dalam tahun 2008.

Exco Agama dan Penerangan Terengganu Che Kazan Che Mat ketika dihubungi hari ini menjelaskan bahawa enakmen yang diluluskan kerajaan PAS Terengganu (1999-2004) itu dikekalkan.

Bagaimanapun menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit itu, enakmen itu tidak dilaksanakan oleh kerajaan BN.

Jelas beliau, “kita tiada masalah dengan enakmen itu kerana itu untuk menjaga Islam. Ada banyak lagi perkara yang tak boleh dibuat dari segi kesihatan dan keselamatan.

“Ini kerana suasana yang tidak bersesuaian, prasyarat tertentu yang tidak dipenuhi dan faktor kemudahan. Hudud memang wajib di dalam Islam tetapi tidak sesuai dilaksanakan buat masa ini.

“Iklan PAS di Kelantan serupa juga,” kata beliau yang yakin bahawa hudud tidak akan dilaksanakan di negeri serambi Mekah dan akan terhenti setakat penggubalan enakmen negeri sahaja.

Enakmen hudud tersebut telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dalam bulan September 2002.

Ia diluluskan Dewan Undangan Negeri tersebut pada 8 Julai 2002 dan diwartakan 25 September 2003.

Isu berkenaan hudud timbul berikutan kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk melaksanakan hukum hudud dua minggu lepas setelah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyoal mengapa PAS tidak melaksanakan hudud setelah Mahathir meletakkan jawatan.

Hasrat Nik Aziz mendapat tentangan sekutunya – DAP di dalam Pakatan Rakyat lantas mewujudkan polemik hudud.

Tiada ulasan: