Jumaat, 30 September 2011

Taib terus berkuasa, kekalkan menteri ‘yes boss’

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Pengumuman kabinet baru Sarawak yang telah diumumkan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud merupakan senarai kabinet yang telah dijangka.

Ketua Pemuda PAS negeri, Mohammad Arifiriazul Paijo (gambar) berkata, tidak banyak perubahan yang dilakukan di dalam kabinet baru Sarawak kali ini.

Katanya, beberapa perkara yang perlu bagi Pemuda PAS Sarawak ingin tekankan berkenaan barisan kabinet baru Sarawak kali ini.

Menurutnya, hampir semua muka-muka lama masih lagi dikekalkan sebagai menteri penuh kabinet Kerajaan Negeri Sarawak.

Kelmarin, Taib mengumumkan rombakan Kabinet yang menyaksikan pelantikan hanya seorang Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Jabu Anak Numpang.

Semua menteri dikekalkan portfolio masing-masing kecuali Datuk Fatimah Abdullah dilantik menerajui Kementerian baru, Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga.

Tujuh muka baru dilantik Menteri Muda iaitu Datuk Len Talif Salleh, Julaihi Narawi, Liwan Lagang, Abdul Karim Rahman Hamzah, Dr Jerip Susil, Rosey Yunus dan Robert Lawson Chuat.

Ini, ujar Arifiriazul jelas menunjukkan bahawa Taib ingin mengekalkan penguasaan beliau dalam pengurusan pentadbiran Negeri Sarawak bagi menjaga kepentingan-kepentingannya.

“Hampir semua portfolio masih lagi dipegang oleh muka-muka yang sama seperti kabinet yang lepas dengan hanya satu perubahan portfolio dan satu menteri penuh yang lepas digugurkan menjadi menteri muda,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Ini, kata beliau jelas menunjukkan bahawa Ketua Menteri yang sedia ada tiada banyak pilihan dalam barisan kepimpinannya yang berkemampuan untuk dilantik dalam senarai kabinet negeri.

Ini juga, tambahnya menunjukkan bahawa sekali lagi, Ketua Menteri yang sedia ada jelas ingin mengekalkan penguasaannya dalam kabinet negeri dengan mengekalkan semua menteri-menteri ‘Yes Boss’.

Katanya, kabinet Sarawak kali ini hanya mengemukakan tujuh muka baru sebagai Menteri Muda yang sebenarnya tidak membawa dan menggambarkan perubahan yang besar terhadap dasar pentadbiran kerajaan negeri.

“Pemuda PAS Sarawak cukup kecewa selaku wakil kepada golongon muda dan membawa aspirasi golongan belia di Sarawak apabila tiada golongan muda dilantik di dalam kabinet negeri kali ini,” ujarnya.

Ini, katanya jelas berbeza dengan kenyataan Ketua Menteri beberapa hari yang lepas yang inignkan golongan muda bersama-sama dalam pengurusan negeri dan kerajaan tempatan.

“Dengan pengumuman kabinet baru ini dan mengekalkan muka-muka lama dalam pentadbiran kerajaan negeri jelas sekali menunjukkan bahawa janji Ketua Menteri dan Barisan Nasional untuk membuat peralihan kuasa kepada Ketua Menteri baru adalah retorik politik semata-mata,” katanya lagi.

Justeru, kata beliau Pemuda PAS Sarawak menyeru seluruh rakyat negeri Sarawak untuk memulakan proses perubahan pentadbiran kerajaan negeri yang lebih bertanggungjawab, lebih telus dan lebih kompeten bagi mencapai kemaslahatan umum bagi semua rakyat Sarawak.

Menurutnya, proses perubahan ini jelas tidak akan dapat dilakukan dengan mengekalkan pentabir kerajaan negeri yang sedia ada.

“Perubahan ini hanya dapat dilakukan dengan menyeluruh dari luar dengan memberi kepercayaan kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum negeri Sarawak yang akan datang,” katanya.

Tiada ulasan: