Rabu, 28 September 2011

SPR didesak umum jumlah pengundi klon

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Pemuda Pas terus mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengemukakan hasil siasatan ke atas 50 ribu pemilih yang telah diwartakan.

“Satu jawapan yang bertanggungjawab daripada SPR perlu dikeluarkan iaitu berapa ribukah jumlah pemilih yang memiliki kad pengenalan klon/palsu,” kata Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda Pas, Suhaizan Kayat.

Beliau mengulas pengumuman Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bahawa 70,361 pemilih digugur dan 50 ribu lagi pemilih sedang disiasat.

Daripada jumlah pemilih yang digugurkan, terdapat 69,293 pemilih yang telah meninggal dunia dan baki 1,068 pemilih yang telah dilucutkan kewarganegaraannya oleh JPN.

Suhaizan berkata SPR tidak boleh berdalih kerana Timbalan Pengerusi SPR, Dato Wan Ahmad bin Wan Omar sendiri mengakui terdapat kad pengenalan klon/palsu dalam daftar pemilih sah suruhanjaya itu.

Menurut Suhaizan, antara soalan yang memerlukan jawapan telus SPR seperti berikut:

- Berapa banyak kad pengenalan lama dimiliki oleh lebih daripada satu identiti pemilih?

- Berapa ramai pemilih berkembar? (Memiliki nama pemilih yang sama dan kad pengenalan yang 83% adalah sama)

- Berapa ramai pemilih yang berkod negara “71” yang telah digugurkan.

Menurutnya, cabaran yang paling besar dihadapi SPR dalam mengemukakan hasil siasatannya adalah halangan daripada Menteri Dalam Negeri yang menjaga Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Tidak mungkin hasil siasatan ini akan dimaklumkan secara telus kepada rakyat selagi kerajaan yang memerintah adalah Barisan Nasional(BN). Jika rakyat mahukan maklumat sebenar berkenaan manipulasi kad pengenalan klon/palsu dalam daftar pemilih SPR maka kerajaan BN perlu ditumbangkan dalam pilihanraya akan datang,”

“Rakyat perlu digembelingkan untuk mengagalkan sebarang bentuk ruang manipulasi dalam pilihanraya akan datang,” ujarnya.

Justeru Pemuda PAS berpendapat pengguguran dan penyiasatan daftar pemilih SPR itu adalah kejayaan rakyat Malaysia dalam mendesak kerajaan membersihkan daftar pemilih terbabit.

“Desakan ini bermula daripada Himpunan Bersih 2.0 pada 9hb Julai 2011 dikuti siri-siri pendedahan yang telah dibuat oleh Pemuda PAS Malaysia.

“Persoalannya apakah SPR akan melaksanakan pemutihan secara intensif tanpa sebarang desakkan daripada rakyat?,” soal beliau.

Tiada ulasan: