Jumaat, 23 September 2011

Solehah mencari pendakwah wanita


Barisan 10 peserta Solehah.

JIKA dilihat kepada kecenderungan penerbitan program realiti televisyen pada waktu ini, bilangan program realiti berkisar tentang keagamaan agak kecil jumlahnya berbanding program realiti sedia ada yang banyak menjurus kepada aspek hiburan.

Justeru, kewujudan program realiti berjudul Solehah, terbitan TV AlHijrah yang bakal menemui penonton tidak lama lagi dijangka mampu menjadi program pendidikan Islam tidak formal yang mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita terhadap agama, bangsa dan negara.

Bertujuan untuk melahirkan pendakwah wanita unggul, Solehah tampil selayaknya untuk melahirkan bakal pelapis kepada muslimah yang mampu memimpin dan berdakwah secara lisan mahu pun melalui tulisan.

Pada tanggal 13 September lalu, telah diadakan majlis memperkenalkan para peserta Solehah yang dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Dewan Muktamar, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Khir, walaupun hanya 600 orang sahaja yang menghadiri sesi uji bakat Solehah yang telah diadakan pada 18 dan 19 Jun lalu, namun dia tetap berbangga dengan kehadiran yang dicatatkan.

“Memandangkan sesi tersebut hanya diadakan selama dua hari, angka 600 adalah satu jumlah yang boleh dibanggakan.

“Ini bermaksud, generasi muda sekarang bukan sahaja memandang ke arah program berbentuk hiburan, malah minda mereka lebih terbuka untuk menerima cetusan idea baru yang mampu merubah persepsi sejagat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Bukhari Che Muda pula memberitahu, Solehah merupakan sebuah program yang unik kerana kesemua 10 peserta yang dipilih, tidak akan disingkirkan hinggalah pada peringkat akhir ia ditayangkan.

Jelasnya, keunikan format itu memberi peluang kepada setiap peserta Solehah untuk menuntut ilmu sebanyak mungkin secara sama rata.

“Pada peringkat akhir yang akan berlangsung kelak, semua peserta akan bersaing sesama sendiri.

“Tidak seperti program realiti yang lain di mana hanya menampilkan sebilangan peserta terbaik sahaja.

“Di pentas akhir itu nanti, markah keseluruhan dari minggu pertama hinggalah ke minggu terakhir akan dikumpulkan dan akan menjadi sebahagian daripada markah akhir untuk menentukan kemenangan.

“Cuma, peratusan markah peringkat mingguan tidak akan diumumkan awal supaya para peserta sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan yang ada,” katanya di sidang akhbar sejurus tamatnya sesi pengenalan 10 peserta Solehah.

Menyentuh soal ganjaran yang bakal diterima oleh pemenang sulung Solehah, Bukhari memberitahu, perkara berkenaan akan diumumkan kelak dalam satu sidang akhbar berasingan.

Tambahnya, hadiah kemenangan tersebut dirahsiakan dahulu bagi mewujudkan elemen kejutan.

“Secara tidak langsung, ia menggalakkan kesemua peserta akhir agar bersaing secara telus tanpa memikirkan sangat habuan yang ditawarkan.

“Sekali gus, objektif dan mesej yang mahu disalurkan menerusi penerbitan Solehah sampai kepada penonton,” ujarnya.

Sepanjang program ini berlangsung, mereka akan diadili oleh tiga orang juri iaitu Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail, Prof. Madya Dr. Mariani Md. Nor dan Isfadiah Mohd. Dasuki.

Sementara itu, barisan tenaga pengajar atau disebut musyrifah ialah Ustazah Norsalehah Mohd. Saleh, Ustazah Norhafizah Musa, Ustazah Suriani Sudi dan Haslina Mohd. Ali.

Solehah akan disiarkan sebanyak 13 episod bermula hari ini di TV AlHijrah pada pukul 8.30 malam.

Tiada ulasan: