Sabtu, 17 September 2011

Singapura: ISA masih relevan

THE MALAYSIAN INSIDER


SINGAPURA ─ Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura berkata Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih terus relevan dan penting sebagai usaha terakhir memelihara keselamatan negara.

Kementerian itu menegaskan ISA hanya diguna pakai untuk menangani ancaman subversif, pelampau kaum dan agama seperti menghasut kebencian kaum dan agama, keganasan, pengintipan dan terorisme.

Dipetik Bernama Online, katanya, kerajaan mengambil perhatian terhadap pemansuhan ISA oleh kerajaan Malaysia dan menggantikannya dengan perundangan baru bagi mencegah ancaman subversif, jenayah terancang dan tindakan jenayah.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak mengumumkan langkah mahu memansuhkan ISA menerusi perutusan Hari Malaysia kelmarin.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura menambah, ISA di Singapura dan Malaysia mungkin mempunyai persamaan ketika dibawah jajahan British tetapi kedua-dua negara dan fabrik masyarakat dan politik telah berubah mengikut peredaran masa.

Seseorang yang ditahan mengikut ISA di Singapura ditahan sehingga 30 hari dan kemudian Perintah Tahanan atau Perintah Terhad perlu dikeluarkan dan sekiranya gagal mengeluarkan perintah itu maka tahan itu dibebaskan tanpa sebarang syarat.

Sejak 1991, Presiden Singapura mempunyai kuasa untuk membatalkan keputusan kerajaan untuk menahan seseorang mengikut ISA sekiranya Lembaga Penasihat ISA, yang dipengerusikan oleh seorang Hakim Mahkamah Agung, mengesyorkan pembebasan tahanan tersebut.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura berkata kerajaan Singapura menggunakan ISA dengan berhati-hati dan hanya diguna pakai terhadap individu yang mengugat keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Katanya tiada individu pernah ditahan mengikut akta itu semata-mata kerana kepercayaan poltitik masing-masing.

Tiada ulasan: