Ahad, 18 September 2011

Sandiwara Cukai 6% Wajar Diberi Award?

Oleh : CHANG SHAK HUNG (sabahkini)

PENANGGUHAN cukai perkhidmatan 6% kad prabayar yang diumumkan pihak TELCO melalui campurtangan kerajaan berhubung merupakan satu keputusan yang bersifat sementara dan hanya menunggu keputusan rasmi akibat daripada bantahan rakyat ‘1Malaysia’ yang menyifatkan pengenaan cukai perkhidmatan ini satu bebanan yang teruk dan sukar diterima.

Walaupun perjumpaan telah dilakukan oleh pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan baru-baru ini, ia langsung tidak meredakan keresahan penduduk 1Malaysia memandangkan pengenaan cukai berkenaan mungkin hanya akan dikenakan pada ‘sim pack’ permulaan ataupun cukai yang difikirkan tidak membebankan rakyat.

Adakah kerajaan sedar bahawa ketika Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri serta menteri-menteri dan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional itu sendiri ditemuduga oleh pihak media massa berhubung dengan pengenaan caj berkenaan; semua tidak bersetuju dan memberitahu bahawa ia amat membebankan rakyat. Lakonan daripada pihak pemimpin tertinggi Barisan Nasional wajar mendapat Award Antarabangsa!

Kita berbalik kepada sejarah setahun yang lalu iaitu pengumuman Bajet 2011 yang telah dibentangkan pada 15 Oktober 2010 oleh Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat.

Melalui pembentangan tersebut, kerajaan telah mencadangkan kenaikan cukai perkhidmatan dari 5% kepada 6% ke atas perkhidmatan yang ditawarkan dengan memberi alasan bahawa kedudukan kewangan yang kukuh adalah penting bagi menjaga kesejahteraan masa hadapan negara!

Satu garis panduan telah dikeluarkan dan pengenaan caj 6% cukai perkhidmatan akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2011. Ia dikategorikan kepada dua caj iaitu menaikkan kadar cukai perkhidmatan ke atas semua perkhidmatan bercukai kecuali kad kredit dan kad caj; mengenakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar.

Jadual Kedua kepada Peraturan-peraturan Cukai Perkhidmatan 1975 telah dipinda dalam Kumpulan G, ‘perkhidmatan yang kena dibayar cukai’ seperti berikut:

“Perkhidmatan telekomunikasi dalam bentuk telefon, faksimili, telemail, alat keloi, telefon selular, teleks, perkhidmatan jalur lebar dan nilai ditambah; perkhidmatan televisyen berbayar”.

Jelas dinyatakan kad prabayar termasuk di dalam caj 6% cukai perkhidmatan!

Melalui Akta Cukai Perkhidmatan 1975, Bahagian IV, Seksyen 10A (2) (a);

“Tiada peruntukan berhubung dengan invois atau resit yang dikeluarkan dengan menggunakan komputer boleh dianggap telah dipatuhi melainkan telah mendapatkan kelulusan daripada Ketua Pengarah Kastam dan Eksais secara bertulis”.

Ternyata jelas bahawa pengumuman ini telah bersangkut-paut dengan kerajaan melalui Ketua Pengarah Kastam dan Eksais terlebih dahulu dan mengapa kerajaan menafikan pengenaan cukai berkenaan tidak ada kena-mengena dengan kerajaan?

Seksyen 31(1) Akta Cukai Perkhidmatan 1975 menyatakan bahawa;

“Tiada seorang pun boleh mengenakan caj atau memungut daripada mana-mana orang apa-apa jumlah wang bagi maksud membayar cukai perkhidmatan yang didapatkan secara levi di bawah Akta ini berkenaan dengan apa-apa perkhidmatan yang disediakan melainkan jika dia boleh dikenakan melalui Akta ini untuk bayaran cukai perkhidmatan.”

Seksyen 31(2) menyatakan bahawa kesalahan di bawah Seksyen ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Adakah syarikat-syarikat telekomunikasi gergasi ini sanggup melakukan kesalahan sedemikian rupa ini demi untuk mengutip 6% daripada rakyat sedangkan kajian berhubung dengan Akta Cukai Perkhidmatan 1975 pasti telah diteliti oleh syarikat-syarikat telekomunikasi sebelum membuat sesuatu keputusan?

Kerajaan Barisan Nasional tidak seharusnya menuding jari kepada pihak syarikat telekomunikasi semata-mata atas ketidak komitmen mereka terhadap pengumuman ini dan pada masa yang sama ‘berlakon’ seolah-olah telah menitikberatkan kehendak dan permasalahan rakyat; dengan cara menunda masa pelaksanaan ke satu tarikh atau menetapkan bentuk cukai yang difikirkan sesuai dan tidak membebankan rakyat.

Mengaku atas kelemahan diri daripada mengugat kesejahteraan dan kestabilan ekonomi akibat daripada ketidak konsistensi pemerintahan kerajaan Barisan Nasional sehingga membebankan rakyat adalah tindakan terpuji!


Tiada ulasan: