Khamis, 8 September 2011

SAMM : Hentikan Sentimen Menang Tulis Sejarah, Kalah Tulis Puisi

Ditulis oleh Naeem Raffi



SHAH ALAM : Tindak tanduk Umno mutakhir ini dalam cubaan menangkis fakta sebenar tentang sejarah tanahair tidak ubah seperti taktik penjajah British yang melabelkan semua pihak yang menentang mereka sebagai komunis termasuk nasionalis Melayu dan agamawan.

Ini kerana menurut Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisyam Shaharin, Umno hanya mahu nama-nama mereka sahaja yang direkodkan dalam sejarah menuntut kemerdekaan negara dan nama wira-wira besar dari parti berhaluan kiri mesti terus dilenyapkan.

Hal ini katanya dapat dilihat dengan jelas apabila timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu yang mengangkat Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan tanpa menyebut tentang komunis terus dimanipulasi oleh Umno dengan menyatakan bahawa wira itu sebagai anggota Parti Komunis Malaya (PKM) yang bertindak ganas merancang serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong lebih 60 tahun lalu.

Namun menurut Badrul yang lebih mesra dengan panggilan Chegubard, tindakan Umno itu jelas menggambarkan politik sempit yang diwarisi parti itu dari penjajah sedangkan nama Mat Indera diangkat oleh Yayasan Warisan Johor melalui buku Pengukir Nama Johor.

"Beberapa tokoh kiri terus digelapkan sejarah kepewiraan mereka kerana untuk menunjukkan hanya Umno yang perjuang merdeka,"kata Chegubard.

"Serangan Umno terhadap tokoh yang melawan British termasuk bekas pemimpim PKM diragui ketelusannya. Umno dilihat menyerang mereka bukan kerana ideologi komunis tetapi lebih kepada mewarisi sentimen warisan penjajah, ini jelas kerana Umno parti pemerintah sendiri menjalinkan hubungan rasmi melalui perjanjian MoU dengan Parti komunis China, KDN membenarkan suara rasmi akhbar Parti Komunis China terbit di Malaysia malah bakal menantu Rosmah Mansor juga seorang dari keluarga pemimpin parti komunis di Asia Tengah,"tambahnya lagi.

Untuk rekod lagi, fakta sejarah mencatatkan bahawa Istana Perak juga pernah menerima mengadap bekas tokoh PKM dan memberi tajaan kepada tokoh tersebut pergi ke tanah suci.

Selain itu, mantan Menteri Besar Perlis pernah ke selatan Thai (perkampungan yang didiami oleh bekas-bekas pimpinan dan perajurit PKM) untuk ziarah dan sampaikan bantuan.

Oleh itu menurut Chegubard, sejarah seharusnya diangkat secara jujur dengan memberi pengiktirafan wajar ke atas semua pejuang.

"Selepas rundingan damai 1989 yang ditandatangani oleh Kerajaan Malaysia dan Komunis, pengiktirafan harus diberi dan segala persengketaan wajar diketepi,"katanya.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai permintaan untuk diadakan debat antara Umno dan PAS, Chegubard menyokong usaha tersebut dan menyifatkan ia adalah budaya politik matang untuk mencari rumusan terbaik dalam mencari fakta jati diri bangsa negara ini.

Justeru, SAMM mengalu-alukan Ketua Pemuda Umno dan Ketua Pemuda PAS juga disertai mana-mana organisasi muda untuk berdebat mencungkil fakta sejarah.

"Mohamad Sabu dari segi pengalaman, usia dan hierakinya lebih sesuai tampil berdebat dengan Muhyuddin Yassin yang agak kasar ketika memberikan komen-komen seperti menyuruh Mohamad Sabu bertaubat.

"Apapun kesempatan ini bagus kerana secara tidak lansung ia menarik perbagai pihak untuk sama mencungkil sejarah negara,"tambah beliau lagi.

Tiada ulasan: