Selasa, 6 September 2011

Robert Phang: Kelab Putera perlu terbuka terima kritikan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Pengerusi Yayasan Penyayang Sosial, Tan Sri Robert Phang berharap Presiden Kelab Putera 1 Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim akan menerima kritikan ekoran tragedi di Somalia Jumaat lalu dengan penuh tanggungjawab dan tidak gentar dengan ujian dilalui.

“Saya juga meminta misi kemanusiaan pada masa depan di tempat-tempat seperti Somalia memenuhi kenyataan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bahawa pendekatan keselamatan seharusnya diambil perhatian sebelum misi diadakan.

“Dalam soal ini, saya berharap bahawa ketua Kelab Putera 1 Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim akan menerima kritikan dengan penuh tanggungjawab tetapi tidak gentar dengan perkembangan ini. Rakyat Malaysia tidak harus menuding jari berhubung insiden ini, yang boleh menghakis usaha yang patut dipuji ini,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Phang menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada keluarga Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera yang terbunuh di Somalia akibat terkena tembakan curi.

“Kini masa untuk mengambil berat tentang keluarganya Allahyarham, isterinya Norazrina Jaafar dan anak-anaknya. Saya dengan ini menyumbangkan RM50,000 dengan harapan kerajaan dan kesemua rakyat akan menyertai saya dalam mengadakan satu dana khas bagi mengurangkan beban mereka dan membolehkan mereka meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Saya berharap sumbangan ini tidak akan dipolitikkan kerana apabila saya membuat sumbangan yang sama kepada yayasan Teoh Beng Hock, saya dibidas oleh parti-parti BN bahawa saya menyokong usaha DAP. Biar saya jelaskan di sini, saya memberi sumbangan kepada yayasan itu bukan kepada DAP,” katanya lagi.

Malah kata beliau, “sekarang saya beri sumbangan kepada bukan kepada Umno atau Putera Umno. Ia kepada sebuah keluarga yang kehilangan anggota keluarga mereka, yang bukan sahaja memerlukan simpati tetapi juga bantuan kewangan.”

Phang juga berkata yayasannya akan melakukan yang sama kepada keluarga Allahayrham Ahmad Sarbaini Mohamed, pegawai Kastam Diraja Malaysia yang ditemui mati di premis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia April lalu.

“Saya setuju tidak banyak yang dilakukan bagi mereka. Sebaliknya, media arus perdana kelihatan mengakibatkan azab kepada keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini kerana disiasat berkaitan dengan kes Kastam,” katanya.

Semalam, Abdul Azeez berkata pihak insurans bersetuju memproses tuntutan berjumlah RM200,000 dalam masa terdekat untuk keluarga Noramfaizul.

Beliau berkata tuntutan itu adalah daripada insurans berkelompok yang diambil oleh kelab itu bagi melindungi kesemua anggota misi termasuk Noramfaizul sebelum mereka berlepas bulan lepas mengikuti misi kemanusiaan Somalia.

Beliau juga berkata kira-kira 60 anggota keselamatan tempatan ditugaskan untuk melindungi 55 anggota misi berkenaan, dan atas faktor itu, tiada pasukan keselamatan dari Malaysia diminta untuk mengiringi misi berkenaan.

Abdul Azeez berkata, Kelab Putera 1 Malaysia akur mengenai langkah-langkah yang harus diperbaiki demi mengukuhkan lagi misi-misinya masa depan.

Kepada soalan mengapa misi kemanusian anjuran kelab itu sering membawa kumpulan sukarelawan, termasuk media yang besar, Abdul Azeez berkata sambutan itu mungkin didorong oleh misi yang mahu dilaksanakan.

Katanya, pada peringkat awal seramai 173 sukarelawan termasuk 80 Cina, 47 (India) dan 46 (Melayu) telah memohon untuk menyertai misi itu.

Bagaimanapun, katanya, hanya 55 sukarelawan termasuk 15 orang daripada media massa dipilih mengikuti misi.

Tiada ulasan: