Jumaat, 30 September 2011

PPSMI: Page bawa isu ke Unesco


KUALA LUMPUR– Pertubuhan bukan kerajaan Page meneruskan perjuangannya berkaitan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ke Unesco, kata Pengerusinya Datin Noor Azimah Abdul Rahim hari ini.

Noor Azimah berkata, pihaknya terpaksa mengambil langkah itu selepas usaha mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelajaran, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri tidak menemui hasil yang diharapkan.

“Kami terpaksa bawa ke Unesco... lepas itu tidak tahu ke mana lagi, mungkin kepada Tuhan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider secara berseloroh.

Terdahulu dalam satu kenyataan, kata beliau, Page telah memanjangkan surat berkaitan kepada Ketua Pengarah Unesco Irina Bokova pada 19 September lalu.

Menurut Noor Azimah, surat itu antara lain menyebutkan bahawa ramai ibu bapa bimbang dengan hala tuju sistem pendidikan Malaysia dalam misinya mencapai pembangunan berkekalan dalam pendidikan dan penyediaan pendidikan yang berkualiti.

Surat itu juga berkata ramai ibu bapa tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan memansuhkan dasar PPSIM, yang dilaksanakan sejak 2003, sebaliknya mahu dasar itu diteruskan di sekolah-sekolah yang boleh melaksanakannya dengan baik - bermakna memberikan pilihan.

Kata Noor Azimah, cadangan penyelesaian Page ialah memberikan pilihan kepada sekolah rendah dan menengah kebangsaan meneruskan dasar PPSMI.

“Dengan adanya pilihan belajar dalam Bahasa Inggeris, sekolah-sekolah kebangsaan akan menarik minat rakyat semua etnik dan strata sosial. Ia juga penting bagi integrasi nasional,” katanya.

Sambil berkata Unesco lazimnya memberikan nasihat kepada Malaysia, Noor Azimah berkata, kemungkinan pertubuhan itu telah gagal memberikan nasihat yang betul kali ini kepada Kementerian Pelajaran.

“Oleh itu, kami meminta Unesco menasihatkan semula kerajaan Malaysia dalam dasar PPSMI,” kata beliau sambi menambah, ada kemungkian Unesco telah gagal dalam memberi syor betul berhubung aspek bahasa “ibunda” atas pandangan bahawa rakyat Malaysia hanya bercakap dalam Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil.

“Ini dipengaruhi oleh keputusan oleh kerajaan memansuhkan PPSMI di separuh jalan selepas enam tahun dilaksanakan,” kata Noor Azimah.

Jelas beliau tiada negara lain selain Malaysia mempunyai kepelbagaian dengan sistem pendidikan diwarisi dari era British.

“Ramai rakyat Malaysia ada kelebihan dalam mempelajari Bahasa Inggeris sehingga 30 tahun yang lalu. Ramai pelajar di sekolah-sekolah hari yang ibu bapa dan datuk nenek mereka merupakan produk pembelajaran dalam Bahasa Inggeris, yang menjadikan bahasa ibunda juga dalam Bahasa Inggeris.

“Ini menjadikan Bahasa Inggeris bukan sahaja bahasa ibunda tetapi juga sebagai bahasa kedua selepas Bahasa Melayu,” katanya.

Bulan lalu, Page merayu Najib campur tangan dalam isu membenarkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia ekoran dua pendirian berbeza Kementerian Pelajaran akhir Julai lalu.

Page merayu agar diberi peluang kepada pihak pro-PPSMI dan anti-PPSMI membentangkan kepada jemaah menteri Kabinet pandangan dan biarkan jemaah menteri memutuskan isu semasa berdasarkan fakta yang betul dan tidak berat sebelah.

Page menegaskan bahawa pihaknya berharap kajian menggunakan dua bahasa untuk mengajar Sains dan Matematik di sekolah tidak akan menjadi “wayang kulit politik yang tidak berkesudahan.”

Tiada ulasan: