Rabu, 28 September 2011

Persiapan sambut jemaah haji sedang rancak

MALAYSIA KINI


Segala persiapan untuk menyambut ketibaan jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini berjalan rancak dengan pelbagai langkah diambil bagi menjamin keselesaan sepanjang tempoh mereka menjalankan ibadah di Madinah.

hajj pilgrimage haji pilgrimage 040107 groupPegawai Operasi Haji di Madinah Shahrunnajmi Basharuddin berkata pengurusan Tabung Haji sudah mula memantau tempat penginapan, selain membuat persediaan rapi dalam urusan pelbagai aspek lain seperti penyediaan pusat rawatan serta perancangan dari segi program ziarah dan penyediaan makanan untuk bakal-bakal haji.

Beliau berkata lebih separuh daripada 28,000 jemaah haji Malaysia tahun ini akan berada di Madinah terlebih dahulu sebelum mereka berlepas ke Mekah untuk mengerjakan umrah dan haji.

"Lebih 200 petugas Tabung Haji, yang terdiri daripada petugas dari Malaysia dan penduduk tempatan, sudah bersiap sedia di sini untuk membantu para jemaah haji sepanjang tempoh mereka berada di sini," katanya kepada kumpulan petugas media Tabung Haji di Madinah.

Kumpulan pertama 450 jemaah haji Malaysia akan tiba di sini pada khamis kira-kira pukul 5.30 pagi waktu tempatan, diikuti kumpulan kedua pada kira-kira pukul 3 petang.

Shahrunnajmi berkata semasa berada di sini bakal haji Malaysia akan ditempatkan di Hotel Al-Haram, Hotel Safa Safer, serta Hotel Movenpick, dan mereka akan dibawa mengikuti program ziarah di lapan lokasi yang disediakan.

hajj pilgrimage haji pilgrimage 040107 masjidil haramBeliau berkata selain petugas haji, bakal haji juga akan dibantu oleh sukarelawan dari kalangan 65 penuntut Malaysia yang melanjutkan pelajaran di sini dalam menyempurnakan program ziarah.

"Tahun ini juga pihak Tabung Haji mengadakan kursus khas untuk dijalani oleh para sukarelawan ini bagi memantapkan sumbangan mereka dalam membantu para jemaah menunaikan ibadah di sini," katanya.

Beliau berkata aspek penyediaan makanan buat jemaah pula diserah kepada pihak TH Global yang sudah membawa kumpulan chef dari Malaysia khusus untuk menyediakan makanan yang memenuhi citarasa rakyat Malaysia di Madinah.

Ada juga antara bahan mentah yang terpaksa dibawa dari Malaysia bagi memastikan makanan yang disediakan memenuhi kehendak jemaah, katanya.

Shahrunnajmi berkata selain itu sebuah pusat rawatan untuk jemaah juga disediakan di bangunan Alauddin di sini, yang merupakan ibu pejabat pengurusan haji jemaah Malaysia di Madinah.

Kumpulan media kemudiannya dibawa melawat bilik penginapan bakal haji di Madinah, yang semuanya terletak berhampiran Masjid Al-Nabawi, yang merupakan masjid kedua termulia selepas Masjidil Haram di Mekah.

Antara yang dilawati petugas media dengan diiringi pengurus zon 1 Tabung Haji Rosli Chin ialah bilik yang luas dan selesa di Hotel Movenpick, yang terletak bersebelahan dengan Masjid Al-Nabawi.- Bernama

Tiada ulasan: