Jumaat, 16 September 2011

Pendapatan keluarga Malaysia masih rendah

ROKETKINI.COM


KUALA LUMPUR – Pendapatan isi rumah rakyat Malaysia akan terus berada di tahap rendah sekiranya kerajaan masih terus dengan agenda Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang hanya menguntungkan kroni Barisan Nasional.

Penasihat DAP Dr Chen Man Hin berkata, walau pun selepas 54 tahun negara mencapai kemederkaan serta 48 tahun Malaysia dibentuk, negara ini masih terperangkap dalam keadaan di mana 60 peratus pendapatan isi rumah berada di bawah RM3,000 sebulan.

“Kebelakangan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengambil langkah meyakinkan rakyat bahawa ekonomi negara akan kembali melonjak.

“Bunyinya seakan mengkagumkan tetapi peningkatan itu sebenarnya hanya disebabkan ianya pulih dari garis dasar yang sangat rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Najib bahawa pelaburan langsung asing (FDI) telah merosot serendah USD$1.5 bilion pada 2009 tetapi meningkat menjadi USD$9 bilion pada 2010.

Dr Chen menjelaskan, walau pun ia dilihat sebagai peningkatan, jumlah USD$9 bilion adalah kecil berbanding FDI yang diperolehi oleh Singapura iaitu USD$38 bilion, Indonesia USD$15 bilion dan China USD$105 bilion.

“Jelaslah, Malaysia bakal menempuh jalan panjang yang lama bagi meyakinkan pelabur-pelabur asing melabur di Malaysia,” katanya.

Jelas beliau lagi, Program Transformasi Ekonomi oleh Najib hanyalah kesinambungan dasar kronisme DEB yang menekankan projek-projek mega dalam usaha merangsang ekonomi negara, sama seperti yang diamalkan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.

Beliau menjelaskan pada awal kemerdekaan, Malaya mempunyai pendapatan per kapita tertinggi di Asia selepas Jepun.

Bagaimana pun, katanya, selepas tahun 1971, pendapatan per kapita Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Korea Selatan telah melonjak naik meninggalkan Malaysia yang masih terbantut.

Justeru Dr Chen berkata, rahsia kejayaan ekonomi Singapura, Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan adalah kerana negara-negara ini mempunyai pandangan global dan mengamalkan ekonomi yang berpandukan kepada kebebasan pasaran di mana kerajaan tegas memastikan keadilan untuk semua pekerja dan rakyat tanpa mengira kaum.

“Penyelesaian bagi masalah ini adalah dengan meliberalkan dan menglobalkan ekonomi.

“Jika Malaysia meneruskan lagi dasar perlindungan dan enggan menceburi kancah persaingan global, maka selama-lamanya Malaysia akan kekal sebagai sebuah negara yang berpendapatan rendah,” katanya. – Roketkini.com

Negara Pendapatan Per Kapita (US$) Ranking Bank Dunia (2010)
Malaysia 8,519 47
Singapura 43,324 12
Hong Kong 31,877 19
Korea Selatan 20,757 26
China 4,393 74
Jepun 43,161 13

Tiada ulasan: