Rabu, 21 September 2011

Pemblog alu-alukan saman RM5 juta Husam

MALAYSIA KINI

Penulis blog terkenal Syed Azidi Syed Abdul Aziz mengalu-alukan saman RM5 juta Datuk Husam Musa yang mendakwanya memfitnah exco kerajaan Kelantan itu dalam artikelnya berhubung Bazar Tok Guru.

Katanya, saman itu bukan sahaja memberi ruang kepada Husam membersihkan nama, tetapi juga peluang baginya mempertahankan dakwaan supaya sah dari segi perundangan.

syed azidi syed abdul aziz kickdefella police pc 171008 02"Kepada pembaca-pembaca saya, suka saya memberikan perakuan bahawa saya akan melawan saman ini dengan dada yang lapang, berhemah dan penuh rasa hormat kepada undang-undang dan sistem kehakiman Malaysia.

"Saya berharap mahkamah tidak sekali-kali digunakan sebagai pentas sarkas untuk kepentingan politik penyaman," kata penulis blog Kickdefella itu.

Husam yang juga nab presiden PAS semalam memfailkan saman terhadap Syed Azidi ekoran penyiaran tiga artikel bertarikh 27 Januari, 3 Februari dan 3 Julai lalu yang didakwa memfitnahnya.

Tulisan itu antaranya berkaitan dakwaan kerugian Kelantan ekoran pemberian tanah hampir RM30 juta kepada pemaju tanpa menerima pulangan setimpal selama 99 tahun, pembelian semula Bazar Tok Guru bernilai RM 23 juta dan kerugian apabila terpaksa membayar pampasan kepada UDA Holdings Berhad.

Kepentingan awam

Dalam kenyatannya hari ini, Syed Azidi berkata, beliau percaya kes itu akan membawa banyak faedah kepada orang awam dan rakyat Kelantan.

Beliau juga mengalu-alukan bantuan guaman bagi membantunya "mempertahankan hak dan kepentingan awam" dan merayu rakyat Kelantan bersama-samanya berdepan kes itu.

pas muktamar 55 husam musa 050609Katanya, tulisannya sebelum ini mempunyai kepentingan awam kepada rakyat Kelantan, berbeza dengan Husam (kanan) yang didakwa tidak langsung mengambil kira soal itu.

"Pihak penyaman tidak seharusnya mengutamakan kepentingan politik dan keinginan untuk mara dalam karier politik mengatasi kepentingan rakyat dan kebebasan rakyat menerima maklumat," katanya.

Syed Azidi berkata, selepas hampir tiga tahun berkhidmat bawah Husam dan menulis lebih 100 artikel berhubungnya, hanya tiga saja artikel yang disaman.

"Ini bererti beliau bersetuju bahawa lebihan artikel yang ditulis oleh saya tentang beliau adalah betul," katanya yang dikenali sebagai Sheih di kalangan penulis blog.

Tiada ulasan: