Khamis, 15 September 2011

P Punithan dilantik setiausaha Pemuda MIC

MALAYSIA KINI


Anggota exco Pemuda MIC P. Punithan dilantik sebagai setiausaha Pemuda MIC yang baru.

Ketua Pemuda MIC T Mohan berkata pelantikan Punithan itu berkuatkuasa serta-merta selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Presiden parti, Datuk G. Palanivel.

"Saya baru saja menghantar surat pelantikan kepada beliau hari ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Punithan akan mengambil alih jawatan itu daripada C. Sivarraajh yang digantung setahun oleh jawatankuasa disiplin parti selepas mengkritik kepimpinan parti kerana mengembalikan semula jawatan beberapa anggota yang dipecat dari parti April tahun lepas.

Sivarraajh dilaporkan telah membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan selepas parti membuat keputusan untuk mengembalikan semula jawatan tiga pemimpin -- bekas Timbalan Ketua Pemuda V. Mugilan dan dua bekas anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) K. P. Samy serta G. Kumar Amaan.

Bagaimanapun, CWC yang mengadakan mesyuarat pada hujung tahun lepas, telah mengurangkan tempoh penggantungan Sivarraajh daripada setahun kepada empat bulan yang akan berakhir pada 31 Disember tahun ini. Bernama

Tiada ulasan: