Jumaat, 9 September 2011

Ops Sikap ke-24 gagal

SINAR HARIAN



KUALA LUMPUR – Operasi Ops Sikap ke-24 yang lebih menekankan aspek advokasi berbanding penguatkuasaan kepada pengguna jalan raya, dilihat gagal apabila jumlah kemalangan menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, operasi kali ini menunjukkan peningkatan sebanyak 16.6 peratus daripada 16,817 kes pada ops sikap terdahulu kepada 19, 606 kes.
Beliau berkata, turut mencatatkan peningkatan adalah kes kemalangan maut iaitu sebanyak 218 kes pada Aidilfitri tahun lalu kepada 259 kes tahun ini.

Menurutnya, susulan peningkatan itu, turut mempengaruhi bilangan kematian yang bertambah sebanyak 16.5 peratus, daripada jumlah 248 pada tahun lalu kepada 289 orang.

“Pembonceng serta penunggang motosikal menjadi penyumbang terbesar bilangan kematian iaitu peningkatan sebanyak 61.6 peratus daripada 143 kes kepada 178 kes tahun ini.

“Kajian yang kita buat menunjukkan lebih 85 peratus punca kemalangan yang berlaku pada ops sikap kali ini, adalah disebabkan sikap pemandu atau pengguna jalan raya itu sendiri,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Ismail berkata, antara punca menyebabkan bilangan kemalangan meningkat ialah terbabas sendiri iaitu sebanyak 78 kes, diikuti makan jalan (36), cuba memotong atau tukar laluan (36), tidak perasan kenderaan lain (19) serta cuai ketika keluar atau masuk simpang (18).

Beliau berkata, berdasarkan kajian mengikut masa, kemalangan maut melibatkan motosikal pada ops sikap kali ini, kerap berlaku pada jam 4 ke 6 petang, 6 petang ke 8 malam serta 6 petang ke 8 malam.

Katanya, jumlah kemalangan maut mengikut masa bagi pengguna motosikal dilihat mencatatkan peningkatan sebanyak 20.3 peratus iaitu daripada 143 kes pada ops sikap terdahulu kepada 172 kes kali ini.

Menurutnya, perbandingan perangkaan ops sikap kali ini dengan operasi sama ke-22 menunjukkan lima negeri dikenal pasti mencatatkan peningkatan ketara iaitu Johor, Selangor, Pahang, Perak dan Kelantan.

Ismail berkata, Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu sebanyak 43 kes, diikuti Johor (42), Pahang (33), Perak (29) dan Kelantan (25). Selain itu, turut membimbangkan apabila jalan raya yang bukan kawasan hotspot kemalangan maut menunjukkan peningkatan, berbanding kawasan hotspot sebenar.

“Statistik Ops Sikap ke-24 ini sangat mendukacitakan kerana usaha kita bersama agensi-agensi berkaitan untuk memberi kesedaran pengguna jalan raya supaya membudayakan pemanduan berhemah tidak tercapai.

“Kita perlu ubah sikap jika mahu mengurangkan jumlah kemalangan secara keseluruhan,” katanya.

Tiada ulasan: