Ahad, 25 September 2011

Nurul desak SKMM tarik balik keputusan hentikan tayangan "Undilah"

Nurul Izzah Anwar


Saya amat terkejut membaca berita bahawa pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) minggu ini telah mengarahkan penyiar tempatan supaya berhenti menayangkan hebahan khidmat awam (public service announcement, PSA) "Undilah" yang diterbit saudara Pete Teo dan dilancarkan pada Hari Malaysia yang baru lepas.

PSA ini, yang disertai diri saya sendiri dan ramai lagi tokoh masyarakat Malaysia, adalah satu usaha tak berpihak (non-partisan) untuk mengajak rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi dan keluar mengundi bila tiba masa pilihanraya nanti demi mengukuhkan proses demokrasi yang diamalkan di negara kita. Ia bertujuan memupuk semangat demokrasi di kalangan rakyat Malaysia, tanpa mengira pihak mana yang disokong.

Di kala para pemimpin negara begitu gah mahu menjadikan Malaysia negara pengamal "demokrasi terbaik" di dunia, tindakan seperti yang dilakukan SKMM ini jelas merosakkan usaha-usaha tersebut dan seakan memperlekeh intelek rakyat Malaysia amnya.

Saya memohon SKMM untuk menjelaskan arahan yang dikeluarkan kepada penyiar
tempatan, malah memohon agar SKMM menterbalikkan arahan tersebut dan mempromosi video ini sebagai satu langkah yang dapat memperkukuh demokrasi
di negara tercinta ini.

Janganlah kebebasan SKMM diperkuda demi permainan politik seorang menteri
yang sudah jelas ketinggalan zaman, yang semakin hilang ditelan arus
pemodenan corak politik tanah air.

*Kenyataan media oleh Nurul Izzah Anwar (gambar kanan) selaku ahli parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden KEADILAN.

Tiada ulasan: