Jumaat, 16 September 2011

‘Najib, ikut cadangan Buku Jingga’

Cadangan Buku Jingga meliputi pemansuhan undang-undang tahanan tanpa bicara, ISA, Ordinan Darurat dan Akta Dadah Berbahaya.

VIDEO INSIDE



PETALING JAYA: Sedang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat bakal mengumumkan pendekatan baru dalam ‘pembaharuan politiknya’ malam ini, Pakatan Rakyat mahu tindakan itu mengikut cadangan yang diketengahkan oleh mereka dalam Buku Jingga.

Ahli Jawatankuasa Majlis Pimpinan Pusat PKR R Sivarasa berkata, cadangan yang disifatkan beliau sebagai bermakna itu meliputi pemansuhan undang-undang tahanan tanpa bicara melibatkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat (EO) dan Akta Dadah Berbahaya.

“Mansuhkan sahaja tidak cukup, pendirian Pakatan adalah tidak menerima undang-undang tahanan tanpa bicara. Semua undang-undang tanpa bicara perlu mansuh serta merta.

“Akta EO tidak jauh beza dengan ISA iaitu tangkap tanpa sebarang bukti. Perdana Menteri perlu buktikan kesalahan secara terbuka. Jika Menteri nak bubar maka ikut seruan Pakatan ini,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat di sini hari ini.

Menyentuh mengenai ura-ura Najib bakal membawa pembaharuan dalam undang-undang media Sivarasa berkata, Perdana Menteri perlu menghapuskan Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi kerana ia menyekat kebebasan media.

Menurut beliau, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak masih relevan namun perlu pindaan iaitu dari segi permit memandangkan Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa sepenuhnya dalam pembaharuan permit tersebut.

PM gagal bawa pembaharuan

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad pula berkata Najib disifatkan sebagai Menteri Kewangan yang gagal dan mengecewakan.

Menurut Dzulkefly, kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri cukup membebankan sehingga keinginan untuknya membawa pembaharuan gagal.

“Malaysia negara paling unik apabila Perdana Menteri juga adalah merupakan Menteri Kewangan. Bagi Pakatan prestasi Najib khususnya ke atas bajet adalah jauh dari memuaskan.

“Beliau (Najib) pula menunjukkan sikap itu apabila meluluskan Bajet 2012 dengan memasukkan kenaikan 1 peratus cukai perkhidmatan pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya, bajet alternatif Pakatan akan diumumkan pada 4 Otober ini dan antara yang akan disentuh membabitkan 20 peratus royalti minyak membabitkan negeri-negeri pengeluar minyak seperti yang terkandung dalam Buku Jingga tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Hal-ehwal Antarabangsa DAP Liew Chin Tong menyentuh mengenai pengurangan birokrasi dan pengaruh Jabatan Perdana Menteri untuk menyelamatkan bajet-bajet lain.

Tiada ulasan: