Ahad, 4 September 2011

Misi Somalia bukan agenda publisiti, kata pemimpin Umno


Gambar diedarkan oleh Bernama menunjukkan Noramfaizul sedang merakamkan keadaan di sekitar di Mogadishu, beberapa jam sebelum dia terbunuh. – Foto Reuters

KUALA LUMPUR – Wakil rakyat Umno menafikan dakwaan kononnya misi kemanusiaan Kelab Putera 1 Malaysia ke Somalia yang berakhir dengan kematian seorang jurukamera Bernama TV semalam merupakan agenda publisiti Umno-BN.

Jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd Nor terbunuh selepas terkena tembakan peluru sesat di Mogadishu semalam manakala jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan cedera di tangan dan dilaporkan stabil.

“Ini memang misi berisiko,” kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin kepada The Malaysian Insider.

“Jangan salahkan (ketua misi kemanusiaan Datuk Abdul) Azeez (Abdul Rahim) sekarang. Biasanya akan ada risiko dan saya pasti beliau sudah mengambil langkah keselamatan bagi setiap mereka yang terlibat,” kata Ahli Parlimen Rembau ini.

Dalam laporan awal hari ini, Abdul Azeez berkata, kemalangan yang meragut nyawa Noramfaizul itu sukar diterima rakyat Malaysia.

Abdul Azeez berkata beliau menuntut siasatan menyeluruh dan penjelasan daripada kerajaan Somalia berhubung kejadian itu.

“Kenapa pasukan tentera melakukan ini kepada kita. Ini kita tidak boleh terima. Mesti ada siasatan menyeluruh. Rakyat Somalia mesti mohon maaf kepada rakyat Malaysia,” Abdul Azeez berkata kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri Somalia.

“Suasana pilu di sini. Semua yang lain selamat. Semalam merupakan perjalanan terakhir tetapi terkena peluru sesat... tak tahu dari mana,” kata Abdul Azeez.

Menurutnya, anggota perubatan kelab itu telah cuba sedaya menyelamatkan Noramfaizul tetapi gagal.

Sementara pemimpin dari kedua-dua Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional mengucapkan takziah ekoran tragedi terbaru ini, ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Latheefa Koya menyifatkan ia sebagai hipokrasi Umno sedangkan parti itu gagal membantu pelarian yang berada di sini, tetapi “mengadakan misi kemanusiaan” di negara diselubungi konflik.

Menerusi ruang media sosial Twitter hari ini, kata beliau, tindakan membawa wartawan ke lokasi berisiko untuk membuat liputan propoganda mereka adalah sesuatu yang menyedihkan.

“Apa yang Umno telah lakukan untuk membantu pencari suaka di sini. Malah rakyat Palestin dan Afghan ditahan di pusat-pusat tahanan di sini! Hipokrit,” kata peguam ini.

Khairy berkata kematian Noramfaizul adalah saat yang menyedihkan bagi keseluruhan rakyat Malaysia.

“Kita seharusnya menyokong keluarga Noramfaizul pada waktu yang sukar macam ini. Bukan menuding jari,” katanya lagi.

Ketua Umno Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed melahirkan pandangan yang seiring dengan Khairy dengan berkata, “saya tidak mengatakan ia sebagai langkah (publisiti). Ia usaha yang baik.”

Bagaimanapun katanya, misi kemanusiaan itu mendedahkan kecacatan dalam usaha menghadapi situasi bahaya sebagaimana dialami oleh misi Mercy Malaysia pada 2003 di Iraq.

“Mereka pergi, bukan sebagai misi rasmi dan menyebabkan ada pihak cedera atau dalam kes ini berakhir dengan kematian. Jadi, saya fikir kerajaan tidak harus membenarkan perkara ini daripada berlaku,” kata Nur Jazlan kepada The Malaysian Insider.

Presiden Mercy Malaysia ketika itu Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan sukarelawan Dr Baba Deani cedera selepas mereka ditembak dalam satu serbuan di luar Baghdad.

Punca kejadian tembakan peluru sesat yang menyebabkan kematian Noramfaizul semalam akan disiasat Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Somalia.

Menterinya Abdisamad Maallin Mohamud berjanji dalang di sebalik kejadian itu dicari dan dihadapkan ke mahkamah.

Beliau meminta maaf terhadap tragedi itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan seluruh warga Malaysia berikutan kematian Noramfaizul.

Tiada ulasan: